Orang ramai menerima suntikan vaksin secara datang terus yang bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Galaxy Mall, Ampang. Foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Orang ramai perlu divaksin secepat mungkin bagi mengurangkan kadar penularan varian-varian Covid-19 yang lebih berbahaya, kata bekas Penasihat Kebangsaan Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Christopher Lee.

Beliau menyifatkan situasi sekarang sebagai “perlumbaan antara vaksin dan virus” dan vaksinasi adalah cara terbaik untuk mengurangkan kadar mutasi virus Covid-19 dalam komuniti.

”Setiap kali virus Covid-19 merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain, mutasi virus boleh berlaku. Jika ia tidak berpeluang untuk merebak, ia tidak akan dapat bermutasi.

”Berdasarkan fakta itu, sekiranya satu komuniti dijangkiti Covid-19, risiko mutasi akan meningkat dan lama-kelamaan, ia akan menjadi varian yang dominan seperti Delta sekarang,” kata beliau dalam sesi webinar bertajuk “Merdeka Daripada COVID-19” anjuran Science Media Centre (SMC) Malaysia dan The Petri Dish.

Mutasi adalah perubahan yang berlaku pada bahan genetik semasa proses replikasi untuk menghasilkan virus yang mempunyai sifat yang berbeza berbanding virus asal.

Biarpun virus Covid-19 sudah beberapa kali bermutasi, namun varian Delta yang kini dominan di seluruh dunia merupakan yang paling berbahaya ketika ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini turut memberi amaran kepada dunia agar segera mengekang varian Delta sebelum ia bermutasi lagi dan menjadi sesuatu yang jauh lebih teruk.

Tambah Dr Christopher, vaksin Covid-19 yang sedia ada sekarang masih berupaya melawan varian Delta dan memberi perlindungan mencukupi.

”Secara amnya vaksin-vaksin di Malaysia masih berkesan terhadap Delta. Vaksin adalah masih cara terulung untuk mengekang penularan virus itu.

”Namun ia adalah seperti satu ‘perlumbaan’ – kalau lebih ramai orang dijangkiti, risiko varian baharu akan berlaku; jika tidak ramai dijangkiti, risiko mutasi akan mengurang.

”Sebab itu, kita perlu vaksinkan orang lebih cepat daripada virus itu boleh berjangkit,” katanya lagi.

Selain mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 selepas menerima vaksin, tambah Dr Christopher, kajian terbaharu juga menunjukkan tempoh varian Delta membiak di dalam hidung individu yang divaksin juga lebih singkat berbanding mereka yang belum diberi vaksin.

”Walaupun virus boleh dikesan di dalam hidung seseorang individu itu sama ada mereka diberi vaksin atau tidak, namun tempoh masa virus itu membiak di dalam hidung mereka yang sudah menerima vaksin akan menurun sebanyak 50 peratus lebih cepat berbanding golongan yang belum mendapatkan vaksin,” ujar beliau.

Contohnya, bagi yang belum divaksin, virus itu didapati membiak di dalam hidung selama seminggu berbanding hanya tiga hari bagi mereka yang sudah divaksin, sekali gus mengurangkan kadar jangkitan” katanya.

Tegas Dr Christopher lagi, vaksinasi adalah penting bagi melindungi golongan yang masih belum dapat menerima vaksin seperti kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

”Selagi kita tidak dapat memberi vaksin kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun, kita perlu melakukan apa yang terdaya bagi melindungi mereka dan salah satu cara terbaik adalah untuk orang dewasa termasuk ibu bapa dan guru segera mendapatkan vaksin bagi melindungi anak-anak kita,” katanya.

Setakat ini, hanya kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun dijangka diberikan vaksin Covid-19 mulai 15 September, menerusi fasa ke-5 Program Imunisasi Kebangsaan, khususnya bagi golongan yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Sementara itu, ujian klinikal masih sedang dijalankan terhadap kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. – MalaysiaGazette