Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Hanya rakyat yang boleh menghentikan perbuatan ahli politik suka melompat parti dengan menunjukkan mereka jalan keluar melalui pilihan raya.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, usaha parti politik tertentu hendak mewujudkan Akta Anti-Lompat atau “recall election” sekalipun, perbuatan khianat itu masih boleh berulang.

“Justeru, rakyat mesti menghentikan perbuatan mereka yang mengkhianati prinsip demokrasi ini. Rakyat yang boleh tunjukkan mereka pintu keluar dalam pilihan raya akan datang.

“Kita tidak akan menikmati kebebasan jika pilihan yang kita lakukan dalam pilihan raya boleh diubah melalui siri pengkhianatan lompat parti seperti ini.

“Seperti mana penjajah yang tidak memberikan pilihan kepada kita dalam menentukan undang-undang dan pentadbiran kita sendiri, begitulah semangat Datuk Maharaja Lela berani untuk membunuh penjajah JWW Birch,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Faiz berkata, demikian juga keadaannya apabila rakyat dipaksa menerima pemerintah yang bukan pilihannya di kertas undi.

Maka, katanya, bebaskan negara ini daripada ahli politik yang menjajah secara tidak demokrasi ini.

“Kita harus memiliki jiwa yang merdeka. Buya Hamka menukilkan erti merdeka – Kemerdekaan sesuatu negara dapat dijamin teguh berdiri apabila berpangkal pada kemerdekaan jiwa.

“Merdekanya sesebuah negara bererti negara tersebut bebas mentadbir, mengurus dan memimpin tanah air mereka sendiri.

“Sama ada penjajah Portugis, Belanda mahupun British, negara yang merdeka seperti Malaysia menikmati kebebasan pentadbiran melalui sistem demokrasi berperlembagaan, di mana pemerintah dipilih di kalangan rakyat melalui pilihan raya,” katanya.

Beliau turut menyatakan, Abraham Lincoln ada menyebut, demokrasi itu ialah kerajaan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Ujarnya, apabila rakyat bebas memilih siapakah yang layak memimpin negara, maka itulah erti kemerdekaan dan apabila rakyat sudah memilih sesebuah parti sebagai kerajaan, maka kerajaan itu mempunyai mandat untuk tempoh sepenggal dan berhak menentukan dasar serta halatuju negara mengikut manifesto yang dijanjikan.

Kata Faiz yang juga ADUN Permatang Pasir, jika kerajaan gagal memuaskan kehendak rakyat, maka pemerintah akan dihukum melalui pilihan raya.

“Bagaimanapun, demokrasi negara yang kita cintai ini dirobek melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menumbangkan kerajaan pilihan rakyat.

“Walaupun rakyat diberi pilihan untuk memilih mana-mana parti politik di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, namun tindakan sebahagian Ahli Parlimen melompat parti dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat adalah satu perbuatan yang mengkhianati kesucian demokrasi,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast