Muhammad Wafiy Mohd Fuad 5, (kanan) Wafa Auniy Mohd Fuad 2 (Tengah) dan Muhammad Lutfy Mohd Fuad 7,ceria menyambut kemerdekaan walau hanya di dalam rumah di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Aplikasi media dalam talian memberi peluang kepada orang ramai untuk meluahkan semangat kecintaan kepada negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 hari ini.

Malah penularan Covid-19 bukan penghalang untuk mereka meraikannya.

Bagi suri rumah, Zynab Hassan, 33, mengambil kesempatan menggunakan aplikasi TikTok untuk memeriahkan sambutan itu di rumahnya.

Menurutnya, video yang dirakam itu dapat menggembirakan anak-anaknya yang tidak dapat melihat sambutan Hari Kemerdekaan di depan mata seperti sebelum ini.

Sekurang-kurangnya dengan menyanyi dan mengibarkan Jalur Gemilang dapat memberi kesedaran kepada anak-anaknya  bahawa sambutan kemerdekaan tetap diraikan walaupun dalam norma baharu, ujarnya.
Zynab Hassan
“Zaman kita dahulu, kita masih dapat merasa dan melihat sambutan bunga api, perarakan kereta penuh warna-warni di dataran atau di televisyen. Tetapi kini semuanya kini telah berubah.
”Jadi, sebagai ibu kita harus menerapkan semangat patriotisme kepada anak-anak supaya jiwa mereka sebati dengan perasaan itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, kandungan video yang digunakannya itu ringkas dan mudah difahami anak-anaknya.

Beliau memilih menggunakan aplikasi untuk meraikan Hari Kebangsaan berikutan penularan Covid-19 yang mana kanak-kanak tidak digalak berada di luar rumah.

Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah memilih cara menarik untuk memahamkan mereka tentang kemerdekaan negara.

“Kita sebagai ibu bapa perlu menjadi pendidik utama memberi pendedahan apa itu kemerdekaan tetapi dengan cara dan batas-batas. Umpamanya bukan hari-hari kita ‘sogokan’ mereka dengan gajet,” katanya.

Menurut ibu muda itu, jika dahulu guru-guru yang selalu menerapkan kesedaran kemerdekaan tetapi pada pada hari ini, ibu bapa juga perlu  bertanggungjawab dalam memupuk rasa cintakan negara dalam kalangan anak-anak. – MalaysiaGazette