Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama timbalannya, Datuk Ahmad Amzad Hashim merakam pengimbas kad perakam waktu pada jam 8.30 pagi sebelum memulakan tugas pada hari pertama di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Putrajaya . Foto HAFIZ SOHAIMI,01 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba yang memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya mengesorkan agar kementeriannya mempergiatkan inovasi dalam bentuk ekonomi.

Menurut beliau, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dikemudi beliau daripada Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu mencari cara untuk meningkatkan ekonomi negara seiring dengan peningkatan teknologi dunia.

“Kita akan perhebatkan lagi kehadiran mereka yang perlukan khidmat MOSTI dan juga kecemerlangan yang berkaitan dengan sains dan teknologi.

“Sehubungan itu, inovasi dalam bentuk ekonomi adalah satu aspek yang perlu kita pergiatkan bersama inovasi bagaimana ia boleh mencetuskan peningkatan ekonomi dalam kalangan masyarakat dan juga sumbangan dunia untuk kita jadi negara pengeksport kepada sains dan teknonogi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sesi interaksi dalam talian bersama Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir dan warga kementerian itu, hari ini.

Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba berinteraksi dengan warga kementerian secara maya selepas mengimbas kad perakam waktu pada jam 8.30 pagi sebelum memulakan tugas hari ini di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Putrajaya . Foto HAFIZ SOHAIMI,01 SEPTEMBER 2021.

Terdahulu, Adham yang tiba di perkarangan kementerianterseput pada jam 8.35 pagi dan mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama untuk memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau menggantikan Khairy yang bertukar portfolio ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan pada 20 Ogos lalu.

Ia selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Adham berkata, segala tindakan dan urusan yang dibuat oleh kakitangan dan pegawai di MOSTI boleh memajukan negara dalam memastikan negara berada pada tahap termaju dan ke hadapan.

“Marilah kita membulatkan tekad dan menggembleng tenaga di setiap lapisan masyarakat dan usaha sama ada di bandar atau luar bandar dan membentuk satu pasukan kuat dan gagah menyelusuri apa juga cabaran yang akan datang dan juga yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Adham mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada Isnin lalu bersama 30 menteri lain dan 38 timbalan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast