Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar satu pasukan doktor dan jururawat digerakkan untuk membantu pesakit Covid-19 kategori 1, 2 dan 3 yang menjalani kuarantin di rumah bagi membendung jumlah kematian dalam kalangan mereka.

Beliau percaya dengan adanya lawatan kumpulan doktor dan jururawat itu, pesakit kategori berkenaan boleh diselamatkan dan dalam kes yang serius mereka boleh dipindahkan ke hospital untuk pesakit kategori 3.

“Lawatan oleh satu pasukan doktor dan jururawat perlu diadakan kepada kategori 1 dan 2 yang dikuarantin di rumah. Dengan itu jika ada pesakit yang menjadi lebih teruk oksigen boleh diberi.

“Dalam kes yang serius mereka boleh dipindah ke hospital atau hospital untuk pesakit kategori 3.

“Saya harap cadangan saya ini diterima oleh Kementerian Kesihatan. Saya percaya jumlah kes baru dapat dikurangkan. Dan juga jumlah kematian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Di awal hantarannya, Dr Mahathir menyorot tentang jumlah kematian pesakit Covid-19 yang meningkat secara mendadak di mana setiap hari hampir 400 orang meninggal.

Katanya, sebahagian daripada mereka dibawa ke hospital selepas meninggal.

“Kenapakah ini berlaku sekarang. Sebabnya ialah kerana jumlah kejangkitan meningkat dengan amat tinggi. Tidak mungkin semua yang dijangkiti (25,080 orang) dimasuk ke hospital,” katanya.

Menurut beliau, amalan sekarang hanya pesakit yang teruk, memerlukan oksigen dan mengguna alatan untuk diberi oksigen dengan tekanan tinggi (kategori 4 dan 5) sahaja yang dimasuk ke dalam hospital.

Pesakit kategori 1,2, dan 3, katanya, diarah kuarantin di rumah dan tidak ada perawat atau oksigen untuk mereka sedangkan kategori 3 yang sudah pun menunjuk paru-paru terjangkit, apabila menjadi lebih teruk tidak mendapat apa-apa rawatan di rumah.

“Keluarga di rumah tidak dapat tolong kerana tidak boleh berdekat dengan pesakit. Doktor tidak dapat dipanggil. Pesakit jadi lebih teruk. Oksigen tidak ada di rumah. Dan akhirnya pesakit meninggal dunia.

“Saya percaya kumpulan ketiga ini boleh diselamatkan. Mereka tidak begitu ramai. Hospital sementara boleh diadakan. Hospital ini hanya dibekal oksigen dan diadakan beberapa doktor dan jururawat,” katanya.

Beliau berkata, lebih seribu pesakit kategori 3 boleh dikuarantin di hospital sementara malah pihak tentera juga boleh membina hospital ala field hospital.

Katanya, dewan-dewan di hotel dan bangunan lain boleh dilengkap dengan katil, oksigen dan doktor serta jururawat.

“Apabila dikesan pesakit sudah jadi lebih serius, doktor dan jururawat boleh beri oksigen. Jika kurang respon, pesakit boleh dipindah ke hospital biasa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast