KUALA LUMPUR – Barisan Kabinet yang baharu diingatkan agar tidak mengulangi pendekatan lama walaupun majoritinya adalah anggota kerajaan lama.
Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana pendekatan lama telah menimbulkan kemarahan, kekecewaan dan keresahan rakyat.
Oleh itu, Jemaah Menteri yang kini berkhidmat di bawah kerajaan baharu seharusnya menggunakan cara baharu dalam bekerja dan berfkir untuk rakyat serta negara.
Malah, Kabinet yang ada ini perlu buktikan mereka bukan seperti yang disindir dan dikritik oleh masyarakat.
Ahmad Zahid berkata, fokus utama adalah menurunkan kes jangkitan Covid-19 dan mempercepatkan imuniti kelompok serta memulihkan ekonomi rakyat dan negara.
”Tiada lagi sindrom penafian dengan alasan yang “annoying”.
”Kerajaan baharu dikatakan kerajaan “result oriented”, maka buktikan penghasilan yang terbaik InShaa Allah,” katanya sambil berharap tempoh 100 hari yang menjadi penanda aras tidak mensia-siakan harapan rakyat. – MalaysiaGazette