KUALA LUMPUR – Pengguna laman media sosial ‘menyerang’ akaun Instagram atlet Ukraine, Maksym Koval serta akaun Twitter rasmi @Tokyo2020 sejak malam tadi selepas pingat emas yang dimenangi Muhammad Ziyad Zolkefli pada Paralimpik Tokyo di tarik semula.

Dipercayai akaun Instagram milik atlet Ukraine berkenaan turut digodam berdasarkan kemas kini yang dibuat menerusi satu akaun baharu hari ini.

Melihat ke ruangan komen, rata-rata netizen terus-menerus meninggalkan kata-kata kecaman serta kata-kata berunsur penghinaan termasuk menggelarkan atlet tersebut sebagai bodoh dan cacat.

Kedua-dua gambar yang disiarkan di akaun Instagram atlet itu juga terus mendapat reaksi negatif dari netizen berdasarkan ribuan komen kemarahan yang ditinggalkan.

Sementara itu, pada akaun rasmi @Tokyo2020, netizen terus berkerumun dan melahirkan rasa kecewa dengan menyifatkan pihak penganjur serta Ukraine tidak mengamalkan semangat kesukanan yang sebenar selain melabelkan negara tersebut sebagai perompak.

Kesemua komen balas tersebut dilontarkan terhadap ciapan tuan rumah selepas ia menyiarkan nama atlet Ukraine itu sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru sukan Paralimpik Tokyo 2020 malam tadi.

Kekecewaan rakyat Malaysia juga jelas terpancar apabila nama Ziyad kini menjadi trending di Twitter dengan lebih 370,000 ciapan selain tanda pagar #justiceforziyad turut digunakan.

Terdahulu kemenangan Muhammad Ziyad dalam acara akhir lontar peluru F20 ditarik balik selepas atlet Ukraine membuat bantahan dengan mendakwa atlet Malaysia itu tidak berada di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast