discharged acquitted Ku Nan Tengku Adnan Tengku Mansor free conviction Tadmansori Holdings Aset Kayamas Chai Kin Kong corruption conviction
Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Perkembangan positif dalam bacaan Bursa Malaysia ketika ini menunjukkan bahawa perkembangan politik negara telah memberi kepercayaan kepada pelabur asing.

Disebabkan itu semua pihak disaran untuk terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kerajaan Malaysia dengan doa dan harapan bahawa pelbagai krisis yang melanda sebelum ini akan berakhir, kata Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Trend peningkatan ini berlaku apabila PM (Perdana Menteri) baharu dilantik dari kalangan pemimpin Barisan Nasional berbanding dengan PM dari parti-parti lain.

“Petunjuk lain keyakinan ini adalah nilai mata wang kita iaitu ringgit juga mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

“Alhamdulillah…ini adalah antara perkembangan yang memberi harapan bahawa sinar baharu akan terpancar untuk rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, ternyata kepimpinan BN/UMNO  mempunyai nilai yang sangat besar dan memberi keyakinan kepada para pelabur untuk terlibat atau melabur dalam pasaran di Malaysia.

“Selepas pelantikan PM dari BN/UMNO, pelabur mula yakin dengan keadaan pasaran negara yang tentunya adalah kerana mereka juga yakin bahawa pentadbiran dari kepimpinan BN/UMNO akan memberi kestabilan….Insya-Allah!

“Sebenarnya ini bukan hanya cakap kosong tapi berlandaskan kepada bukti-bukti nyata. Lihat sahaja bagaimana ekonomi negara yang kononnya dikatakan ‘baik’ dalam kerajaan tadbiran Pakatan Harapan (PH) yang hanya bertahan 22 bulan dan juga di bawah PM Muhyiddin Mohd Yassin selama 17 bulan.

“Jelas bahawa propaganda/manipulasi/persepsi yang ditaburkan kepada BN/UMNO semasa berkerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah fitnah kerana BN/UMNO sentiasa mengutamakan kestabilan politik.

“Ini kerana politik yang stabil dengan rakyat hidup sejahtera adalah penyumbang besar kepada keyakinan pelabur untuk menanam modal dalam negara yang akan membantu melonjakkan kepesatan dalam pelbagai perkara,” ujarnya.

Kata beliau lagi, jika semasa kerajaan PH, pemimpinnya lebih suka berhutang dari negara maju selain menjual aset-aset negara atas alasan kerajaan tidak ada duit dan kejayaan terbesar PH secara keseluruhannya ialah meningkatkan hutang langsung negara sebanyak RM140 bilion dan angka itu tidak termasuk jaminan pinjaman kerajaan sebanyak RM46 bilion.

“Dalam kerajaan tadbiran PM Muhyiddin Mohd Yassin pula…Covid-19 adalah alasan paling kukuh yang digunakan sebagai perisai serangan kenapa gagalnya ekonomi dalam negara. Senang cakap ‘pukul rata’ semua industri ekonomi terjejas dalam situasi pandemik ini.

“Tak apalah… yang dah lepas jadikan tauladan. Buang yang keruh ambil yang jernih kerana rakyat perlu terus hidup,” tambahnya.

Justeru kata beliau, kerajaan Malaysia yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini adalah harapan untuk rakyat keseluruhannya.

“Rakyat percaya dengan kepimpinan dari BN/UMNO yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan krisis. Ruang masa lebih 60 tahun bukan satu tempoh pendek kerana BN/UMNO telah membuktikannya.

“Hari ini rakyat yakin bahawa Kerajaan Malaysia akan dapat menangani masalah kesihatan khususnya pandemik Covid-19, masalah ekonomi, masalah sosial dan keperluan rakyat malah, yang utama kestabilan politik amat penting,” katanya lagi. – MalaysiaGazette