Kejohanan Euro 2020 kali ini telah ditonton lebih 5 bilion penonton seluruh dunia. Kredit Foto: Pool via REUTERS/Catherine Ivill.

LONDON – Kejohanan Bola Sepak Piala Euro 2020 telah ditonton lebih daripada lima bilion orang, menurut statistik yang dikeluarkan penganjur Kesatuan bola Sepak Eropah (Uefa) hari ini.

Kejohanan berprestij Eropah itu telah dijalankan di 11 bandar raya terbesar di benua Eropah termasuk London pada Jun dan Julai lalu berjaya menarik purata 100 juta penonton untuk setiap perlawanan, kata badan kawal selia bola sepak itu lagi.

Manakala perlawanan akhir Euro 2020 yang menyaksikan England tewas dalam penentuan penalti kepada Itali di Stadium Wembley pada 11 Julai lalu pula telah ditonton oleh 328 juta penonton.

Ia sekaligus menjadikan sebagai program yang terbesar ditonton di televisyen di United Kingdom dalam tempoh 24 tahun lalu dan juga di Itali sejak 2012.

Pengarah Pemasaran UEFA, Guy-Laurent Epstein menjelaskan bahawa kumulatif penonton 5.23 bilion yang direkodkan kali ini dalam kejohanan Euro 2020 menunjukkan temasya ini mempunyai pengaruh sukan yang kuat bukan sahaja di Eropah tetapi juga seluruh dunia.

“Perlawanan itu yang mempunyai penonton global semakin berkembang luas khususnya di Amerika Utara dan benua Asia, yang mana ‘penyokong tegar’ yang mengikuti kejohanan Euro tersu berkembang luas.

“Kita juga ambil maklum bahawa terdapat peningkatan dari segi bilangan penyokong yang mengakses perlawanan menerusi khidmat streaming internet,’ katanya.

Secara keseluruhannya, angka itu sedikit meningkat pada temasya 2016 yang telah diadakan di Perancis yang menarik sekadar bawah lima bilion penonton sahaja bagaimanapun Uefa teruja dengan pertumbuhan pasaran global.

Di China, angka penonton bertumbuh 43 peratus berbanding 2016 dengan kumulatif penonton seramai 352 juta orang.

Sementara di Amerika Syarikat, penonton meningkat sebanyak 32 peratus dengan kumulatif penonton TV adalah 87 juta.

manakala India telah menyaksikan pertumbuhan penonton sebanyak 229 peratus dan kumulatif penonton sebanyak 107 juta.

Justeru impak Euro 2020 dalam media sosial juga sangat signifikan dengan pihak berkuasa bola sepak dan penyiar meneroka jalan untuk berhubung dengan penonton muda.

Euro 2020 merupakan kejohanan Eropah yang paling besar diikuti setakat ini dengan 7.5 bilion interaksi dan tontonan yang mana 2 bilion daripadanya dijana oleh akaun rasmi UEFA.-Dailymail.com