Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Khidmat Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Asia Tengah disambung berkuatkuasa serta merta.

Pengumuman itu dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan keputusan menyambung khidmat Presiden Pas itu dipersetujui Mesyuarat Kabinet pertama bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Kabinet juga bersetuju menyambung khidmat Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas ke Republik Rakyat China dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Richard Riot Jaem sebagai Duta Khas ke Asia Timur.

Richard Riot

Abdul Hadi dilantik dilantik Duta Khas kepad perdana Menteri bertaraf menteri pada 3 April 2020 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Manakala King Sing dilantik pada 20 April 2020 dan Richard Riot dilantik pada 14 Mei, juga bertaraf menteri.

Namun, khidmat mereka berakhir serentak dengan peletakan jawatan oleh Muhyiddin pada 16 Ogos lalu, sebelum diganti Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan dan penubuhan kerajaan baharu pada 20 Ogos lalu.

Pelantikan Abdul Hadi dilihat dapat memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara Timur Tengah.

Ahli Parlimen Marang itu khususnya berlatarbelakangkan pendidikan dalam bidang syariah dan Sains Politik, selain mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara Timur Tengah.

Tugas King Sing berperanan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu pernah berkhidmat sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur pada tahun 2014 hingga 2018. – MalaysiaGazette