Pemain Uitm FC, Sean Gan Giannelli meraikan jaringan pertama pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Bola Sepak Uitm Shah Alam, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI,07 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR = Pemain tengah UiTM FC, Sean Gan Giannelli puas apabila akhirnya berjaya menyumbat gol peribadi bersama pasukan meskipun perlu menanti agak lama untuk kembali bangkit selepas mengharungi musim yang agak hambar.

Pemain berusia 25 tahun ini telah meledak tiga gol setakat ini sejak dipinjamkan ke UiTM FC daripada Kuala Lumpur City FC pada pertengahan musim sekali gus berjaya sekurang-kurangnya membuktikan kemampuan selepas diketepikan dalam kesebelasan utama sebelum ini.

Apa yang penting, keputusannya untuk beraksi bersama UiTM FC sememangnya tepat bagi mendapatkan minit permainan yang lebih lama dan ternyata, aksinya berjaya membantu pasukan raih dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan terdahulu.

Walaupun sudah hampir ke penghujung musim, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT II) ini tidak merasakan sudah terlambat untuknya terus mempersembahkan aksi cemerlang di samping mengharapkan kariernya pada musim depan juga akan lebih baik.

“Apabila saya buat keputusan untuk berhijrah secara pinjaman ke UiTM memang ada juga rasa tekanan untuk berikan yang terbaik sebab biasalah apabila kita bertukar kelab, kalau boleh nak tunjuk yang kita mampu bermain dengan baik.

“Jadi, saya tidak nafikan ada sedikit tekanan tetapi barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan sangat membantu untuk saya menyesuaikan diri dengan pasukan ini.

“Memanglah kalau boleh nak bermain lebih banyak lagi sebab ada tiga perlawanan sahaja lagi selepas ini, cuma saya gembira dengan keputusan untuk dipinjamkan ke sini dan sekurang-kurangnya saya dapat buktikan apa yang saya ada pada musim ini, dan bukannya sekadar menunggu untuk musim depan,” jelasnya.

Sepanjang beraksi bersama Kuala Lumpur pada pada musim ini, Sean hanya beberapa kali sahaja diturunkan sebagai pemain gantian dan paling lama beraksi hanya untuk 22 minit baki perlawanan sahaja.

Berbaki tiga lagi perlawanan sebelum berakhir saingan Liga Super 2021, dia berharap mampu untuk menambah jaringan peribadi selain ingin memastikan pasukan tidak lagi tercicir mata untuk cuba keluar daripada zon penyingkiran.

“Saya memang nak cuba meledak jaringan lagi tetapi yang paling penting adalah untuk bantu pasukan perbaiki kedudukan.

“Pasukan kena kekalkan momentum ini sebab kita tidak tewas dalam tiga perlawanan terdahulu, jadi penting untuk kita pastikan tiga aksi terakhir nanti tidak lagi kalah, jadi saya akan cuba yang terbaik bantu pasukan”, tambahnya.

UiTM FC ketika ini di tangga tercorot Liga Super dengan sembilan mata dan peluang mereka untuk cuba keluar daripada zon penyingkiran masih ada walaupun tipis dengan mengharapkan pasukan seperti Perak FC dan Sri Pahang FC tercicir mata dalam aksi akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast