KUALA LUMPUR – Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Perlis membantu melunaskan wang ikat jamin seorang tukang cuci sambilan yang didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis semalam atas tuduhan mencuri wang RM40 dari tabung sebuah masjid.

Ketua Penerangan Armada Perlis, Wan Zikri Afthar berkata, beliau bersama Ketua Badan Pimpinan negeri, Abu Bakar Hamzah membayar ikat jamin berjumlah RM2,000 kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari ini setelah barisan pimpinan sepakat untuk membantu dan memberi peluang kedua kepada wanita terbabit.

“Pihak Bersatu Negeri Perlis dengan tegas berpendapat bahawa peluang kedua ini bukanlah bermaksud kita bersetuju dengan tindakan tertuduh yang malah belum menjalani prosiding mahkamah dan dijatuhi hukuman, namun Bersatu berpendapat perkara ini perlu diselesaikan dengan baik dan tanpa ‘bias’, ditambah menilai keberadaan atau kesusahan yang dialami oleh mangsa.

“Dalam masa sama, Bersatu Perlis juga khuatir insiden ini mampu menimbulkan fitnah ke atas Islam dan juga institusi masjid.

“Kami telah menghubungi kariah masjid sejak semalam dan akan bertemu untuk terus berbincang dengan pihak masjid bagi mempertimbang untuk menarik balik laporan ke atas wanita yang dalam kesusahan ini dalam pada itu Bersatu Perlis juga bertekad untuk membayar kembali kerugian masjid dan juga menyumbang kepada institusi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Zikri berkata, Bersatu dan Armada Perlis turut menyediakan khidmat peguam sekiranya tindakan undang-undang dilanjutkan.

Katanya, mengenai beberapa tuduhan peribadi ke atas wanita tersebut terkait isu penyalahgunaan dadah, Bersatu berpendapat bahawa isu kehilangan duit masjid dan kesusahan wanita itu yang dijadikan sandaran dan kes selain daripada isu kehilangan wang dan kesusahan yang dialami wanita itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti.

“Apa yang penting bagi kami Bersatu adalah membantu mereka yang memerlukan dalam pada tidak menghakimi di samping menjaga aib serta maruah insan.

“Secara ringkas, ikat jamin yang dilakukan dengan mengambil kira faktor anak wanita itu baru berusia empat tahun selain seorang asnaf, nilai kecurian terlalu kecil, memberi peluang kedua untuk berubah dan wanita terbabit memerlukan rawatan pemulihan untuk kembali kepada masyarakat dalam memulakan kehidupan baru.

“Jika benar wanita terbabit mempunyai masalah moral, seharusnya pihak-pihak berwajib seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, pusat pemulihan, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau yang berkaitan haruslah sentiasa memantau dan memberi bimbingan agar dia dapat dibimbing,” ujarnya.

Media semalam melaporkan seorang tukang cuci sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar atas kesalahan mencuri tabung dan wang RM40 di Masjid Sirajuddin, Padang Pauh pada bulan lalu.

Tertuduh, Nor Amira Roslan, 28, hanya mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast