Ivermectin Clinical Trial (I-TECH) Covid-19 treatment
Picture for representational purposes only

SEJAK penghujung tahun 2019, jangkitan Covid-19 masih menghantui bukan sahaja
masyarakat Malaysia, malah seluruh dunia secara umumnya. Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak-pihak bertanggungjawab bagi mengekang dan membendung pandemik Covid-19 ini, namun ternyata kemodenan teknologi dan kebijaksanaan manusia tidak mampu mengejar “kelicikan” virus ini yang lebih pantas bermutasi. Atas dasar tersebut, manusia mencari pelbagai alternatif untuk memenangi “peperangan” dengan virus Covid-19.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan di peringkat kebangsaan mahupun inivididu untuk mengekang penyebaran Covid-19 ini, namun Malaysia masih menunjukkan peningkatan kes-kes positif yang mencecah lebih dua puluh ribu sehari sejak beberapa minggu yang lalu. Kejayaan penciptaan vaksin dalam masa yang agak singkat dan suntikan vaksin kepada seluruh masyarakat dijangkakan dapat membendung amarah Covid-19, namun hakikatnya sehingga ke hari ini, kes-kes positif serta kematian masih lagi berada pada tahap membimbangkan.

Dalam kepanikan tersebut, sesetengah individu mula mencari jalan pintas dengan mencuba beberapa alternatif lain untuk menyelamatkan diri dari dijangkiti atau tatkala dijangkiti virus yang masih mengganas ini. Salah satunya ialah dengan mengambil ubatan yang yang sedang hangat diperkatakan ketika ini iaitu Ivermectin. Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang digunakan untuk merawat jangkitan cacing, kutu dan kudis buta, namun penggunaannya adalah lebih meluas untuk melawan jangkitan parasit pada haiwan ternakan seperti kuda dan lembu.

Pada awal tahun 2020, penggunaan Ivermectin sebagai penawar Covid-19 mula tercetus dengan penerbitan satu kajian makmal mengenai keberkesanan Ivermectin dalam membantutkan proses replikasi virus SARS-CoV-2. Laporan yang diterbitkan tanpa semakan terperinci oleh para saintis professional ini telah dikaitkan dengan data kajian yang telah dimanipulasi. Natijahnya, penerbitan oleh penyelidik dari luar negara itu telah ditarik balik daripada sistem penyelidikan saintifik bagi mengelakkan kekeliruan mengenai keberkesanan Ivemectin.

Walaupun terdapat beberapa penerbitan lain yang masih menyokong penggunaan Ivermectin sebagai rawatan berkesan untuk pesakit Covid-19, kebanyakan laporan saintifk masih tidak dapat memberikan bukti yang kukuh, berikutan jumlah pesakit yang terlibat dalam kajian adalah tidak mencukupi untuk menghasilkan kesimpulan kajian yang meyakinkan. Laporan-laporan yang menyokong penggunaan Ivermectin ini ada mengatakan terdapat pihak-pihak tertentu ingin menjejaskan pengeluaran Ivermectin dengan memburukkan potensi yang ada pada ubat ini dalam memanfaatkan pesakit Covid-19.

Walau bagaimanapun, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (Federal Drug Association, FDA) masih melarang penggunaan Ivermectin bagi tujuan ini. Ivermectin menjadi sangat popular dan mencetuskan isu sensasi di negara Amerika Latin di mana larangan terhadap penggunaannya dalam merawat Covid-19 diibaratkan seperti “pembunuhan beramai-ramai”, yang tidak sepatutnya terjadi. Ianya banyak digunakan di negara-negara yang perpendapatan rendah sementelah ianya senang didapati dan harganya juga agak murah.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa ubatan-ubatan yang berada di
pasaran kini semuanya telah melalui kajian terperinci sebelum disahkan selamat untuk
digunakan. Dalam kes penggunaan Ivermectin untuk merawat Covid-19, data-data yang telah diterbitkan yang menyokong keberkesanannya dalam menyembuhkan pesakit Covid-19 masih belum kukuh. Menurut Sara Reardon dalam laporan beliau yang diterbitkan oleh Jurnal Nature pada awal Ogos 2021, para saintis memerlukan bukan sahaja data yang lebih besar, namun yang turut sama penting adalah data yang boleh dipercayai, sebelum kesimpulan tentang keberkesanan Ivermectin boleh diputuskan.

Di Malaysia, pengambilan Ivermectin untuk rawatan Covid-19 masih belum diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah berita mengenai kes kematian serta
keracunan Ivermectin telah dilaporkan baru-baru ini oleh Pusat Racun Negara (PRN)
berikutan pengambilan Ivermectin oleh individu secara kendiri tanpa pemantauan doktor.
Salah seorang daripada individu terbabit telah megalami gejala sesak nafas yang
berpanjangan selama lima hari, selepas mengambil hanya sebiji Ivermectin untuk rawatan Covid-19.

Secara umumnya, pengambilan Ivermectin tanpa pemantauan doktor boleh memberi kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut dan pening. Kesan yang lebih serius
seperti tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan buah pinggang dan kematian juga boleh berlaku. Oleh itu, pengambilan kendiri ditambah dengan dos ubat yang tidak betul adalah dilarang oleh KKM. Malah, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga
memaklumkan bahawa setakat ini tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar
dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.

Sebagai kesimpulan, pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Malaysia dapat dilihat
dalam menangani wabak Covid-19. Ada yang terlalu berhati-hati sehingga tidak
mempercayai kajian saintifik yang dijalankan tentang keberkesanan vaksin dalam mengekang jangkitan Covid-19. Manakala, terdapat juga segelintir masyarakat yang cepat terpengaruh dengan berita-berita yang viral mengenai pengunaan ubat-ubatan untuk rawatan serta pencegahan COVID-19, tanpa meneliti sokongan kukuh daripada data-data penyelidikan.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menjalankan kajian klinikal terhadap penggunaan
Ivermectin sebagai salah satu rawatan untuk Covid-19, namun sehingga pertengahan Ogos 2021, tiada kesimpulan yang jelas dapat dibuat daripada data yang diperolehi setakat ini. Jika terbukti keberkesanan Ivermectin dalam rawatan Covid-19, tentu pihak bertanggungjawab tidak akan berlengah untuk mengumumkan dan membenarkan pengunaan Ivermectin untuk masyarakat umum. Sehingga kini, penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 hanya dibenarkan untuk kajian klinikal sahaja dan bukan untuk masyarakat umum.

Memetik kata-kata ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, “Sains kekal sebagai senjata terbaik dalam melawan virus SARS-Cov-2, bukan sekadar kebetulan yang diheboh-hebohkan”. Buat masa ini, pengambilan suntikan vaksin serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) adalah langkah yang paling efektif untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

OLEH: Dr Rosmaliza Ramli,
Pensyarah Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM

Prof Madya Dr Norhayati Luddin,
Pensyarah Prostodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM