Ag Zakariah

KOTA KINABALU – Parti Cinta Sabah (PCS) menggesa perundangan berkaitan pemilihan semula (recall petition) dilaksanakan segera untuk menghentikan budaya lompat parti di negeri itu.

Malah budaya lompat parti ini bukanlah sesuatu yang baharu di Sabah.

Mengambil kira isu itu yang seringkali diperdebatkan, PCS sedang melakukan apa sahaja bagi memastikan satu perundangan dilaksanakan untuk menangani isu tersebut.

Menurut Ketua Pemuda PCS, Ag Zakariah Ibrahim berkata, pihaknya sedang berusaha memastikan undang-undang berkaitan ‘recall petition’ atau pemilihan semula wakil rakyat digubal dan dilaksanakan demi kestabilan politik negara.

Jelas Ag Zakariah, sebelum ini saranan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan pemilihan semula wakil rakyat adalah lebih baik berbanding undang-undang anti lompat parti.

“Malah jika dilihat Akujanji utama dalam manifesto PCS semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu adalah memperkenalkan ‘recall petition’ sebagai langkah untuk menghentikan budaya lompat parti.

“Presiden PCS sendiri iaitu Datuk Seri Anifah Aman juga pernah menyatakan bahawa budaya lompat parti dalam politik ini amat menjengkelkan.

“Budaya lompat parti adalah pengkhianatan kepada undi rakyat dan ia menimbulkan pelbagai masalah bukan sahaja di Sabah malah, di seluruh Malaysia.

Di Sabah, kita sering dibelenggu dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi akibat budaya melompat parti.

“Ini berlaku akibat sifat tamakkan kuasa yang tidak boleh dibendung kerana tiada undang-undang yang boleh menangani budaya melompat parti ini,” katanya.

Menurut Ag Zakaria, ‘recall petition dicadangkan akan membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kekosongan kerusi wakil rakyat sekiranya Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam beberapa isu melompat parti, meletak jawatan daripada parti atau dipecat oleh pimpinan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast