Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) telah menerbitkan Kertas Konsultasi Awam (KKA) sebagai pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang diterbitkan pada 31 Ogos 2021.

KKA ini sebagai salah satu usaha menambahbaik ketelusan dan keterangkuman di dalam proses penyediaan bajet tahunan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sebagai langkah permulaan, empat kertas konsultasi awam akan diterbitkan untuk mendapatkan input kepada Bajet 2022, iaitu:

a. Penambahbaikan Dasar Perolehan Kerajaan Berkaitan Barangan/ Perkhidmatan Tempatan dan Bumiputera, yang akan menggariskan cadangan penambahbaikan ke atas dasar penggunaan barangan/perkhidmatan tempatan dan dasar keutamaan syarikat Bumiputera. Ini antara lainnya adalah bagi melindungi dan membangunkan industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import;

b. Penambahbaikan Program Bantuan Tunai, yang akan mengenalpasti masalah, keperluan dan kaedah yang berkesan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat, terutamanya dalam situasi yang mencabar akibat penularan Covid-19;

c. Kajian Insentif Cukai, yang merangkumi kajian semula rangka kerja insentif cukai pelaburan secara menyeluruh, bagi memastikan insentif cukai
kepada pelabur kekal relevan dengan lanskap semasa perniagaan. Ia juga bertujuan meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan
berkualiti, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan penambahbaikan kedudukan fiskal negara; dan

d. Penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal atau Fiscal Responsibility Act (FRA), yang bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara, termasuk pengurusan hasil, perbelanjaan, hutang, risiko fiskal, serta pelaporan tertentu dalam bentuk pra-bajet dan pasca bajet, unjuran kedudukan ekonomi dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

Katanya, MOF yakin penerbitan KKA buat kali pertama ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masingmasing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara.

Soalan atau keperluan maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada [email protected].

KKA boleh dimuat turun dan maklum balas boleh dikemukakan melalui laman web www.mof.gov.my. selewat-lewatnya pada 5 petang, 15 September 2021. – MalaysiaGazette