Jurulatih kepada atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, Faizol Harun bercakap semasa ketibaan atlet paralimpik Malaysia selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021. selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021.

SEPANG – Jurulatih lontar peluru para negara, Mohd. Faizol Harun mengakui dia bertanggungjawab atas insiden menimpa anak didiknya, Muhammad Ziyad Zolkefli yang terlepas pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Jelas beliau, tanggungjawab diambil kerana dia merupakan jurulatih dan individu yang dekat dengan Ziyad.

Beliau juga meminta tiada lagi pihak menunding jari kepada sesiapa atas apa yang berlaku pada Selasa lalu.

“Saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku serta meminta jangan menuding jari kepada orang lain dan tidak perlu mencari siapa yang bersalah dalam hal ini.

“Sebagai jurulatih saya bertanggungjawab,” katanya pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, petang tadi.

Atlet paralimpik Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli tiba selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021.

Berkongsi insiden yang berlaku itu, Mohd. Faizol menegaskan mereka tiba di bilik menunggu di Stadium Olimpik Tokyo  tepat pada masanya iaitu jam 5.55 petang seperti ditetapkan dalam peraturan.

Menurutnya, mereka tiba di trek memanaskan badan pada jam 4.15 petang sebelum Ziyad memulakan sesi memanaskan badan pada jam 4.45 petang.

“Dia (Ziyad) memanaskan badan sehingga jam 5.30 petang sebelum kami bergerak ke bilik menungggu pukul 5.45 petang. Kami sudah buat kiraan, jarak antara trek memanaskan badan lebih kurang 8 hingga 10 minit kalau jalan biasa tetapi 5 hingga 6 minit kalau berjalan dengan cepat.

“Kami pun bergerak ke bilik menunggu dan di depan kami ada atlet Greece yang jarak antara kami lebh kurang empat atau lima meter. Apabila sampai, mereka dibenarkan masuk tetapi kami ditahan. Bila kami tengok masa tepat jam 5.55 petang dan sepatutnya kami dibenarkan masuk.

“Kami merayu untuk dibenarkan masuk dan ketika itu atlet Australia dan Ecuador pun datang, mereka pun merayu. Kami terus merayu tetapi selepas itu penolong pengadil mengatakan kami ‘maaf, anda lambat’ yang mana jam digital yang ada di situ menunjukkan 5.56 petang. Memanglah 5.56 sebab kami sudah lama di situ kerana merayu.

“Selepas itu bila tahu pintu sudah ditutup, ada jurulatih Ukraine dua hingga tiga orang seperti melakukan provokasi ke atas penolong pengadil. Mereka kata kalau benarkan Ziyad masuk mereka akan buat protes.

“Selepas bercakap dengan ketua pengadil, Ziyad dibenarkan masuk,” katanya.

Atlet paralimpik Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli tiba selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto FARHAN MAHAMAD, 03 SEPTEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Mohd. Faizol, berkata dia hanya mengetahui Ziyadi diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) selepas membuat lontaran ketiga yang menyaksikan jaguh negara itu memecahkan rekod dunia buat kali kedua dengan catatan 17.94 meter.

“Saya tidak tahu apa-apa. Kalau kami tahu awal saya memang tidak akan biarkan Ziyad bertanding sebab di Malaysia ada siaran langsung.

“Bila perkara itu berlaku, saya pun tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Saya terus merujuk kepada pegawai MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) dan ketua kontinjen (Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin). Saya ceritakan semula apa yang berlaku dan mereka buat rayuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ini cerita sebenarnya, memang dari awal Ukraine sabotaj Ziyad. Masih nak salahkan orang kita lagi ??

Comments are closed.