Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kanan) diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman (kiri) mengenai kejadian bencana geologi tanah runtuh dan aliran debris Gunung Jerai yang berlaku 18 Ogos lepas ketika mengadakan lawatan ke lokasi bencana Geologi Aliran Debris di sekitar Titi Hayun

YAN – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bercadang menubuhkan sebuah pasukan pakar terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan untuk mengkaji dan menilai risiko kejadian bencana geologi di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata langkah itu bagi menggabungkan peranan pakar-pakar tersebut agar tindakan yang lebih bersepadu dan berintegrasi dapat dilakukan bagi menghadapi kejadian seperti runtuhan tanah dan aliran puing.

Beliau berkata agensi atau jabatan tersebut termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd, di bawah kementeriannya.

“Jabatan di kementerian lain pula antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh dan aliran puing Gunung Jerai di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan awal tersebut akan diperhalusi di peringkat kementeriannya sebelum dibentang ke Kabinet untuk kelulusan.

Katanya, pasukan itu juga mungkin akan disertai pakar daripada luar negara terutama negara-negara yang berpengalaman dalam menghadapi situasi bencana geologi untuk membantu negara ini mencari penyelesaian terbaik dalam perkara itu.

Beliau berkata langkah mengintegrasikan peranan pakar daripada pelbagai agensi dan jabatan itu juga dilihat dapat memaksimumkan sebarang peruntukan kerajaan dalam menguruskan bencana geologi.

Sementara itu, Takiyuddin berkata KeTSA bercadang membangunkan satu sistem amaran awal pemantauan dan pengesanan tanah runtuh di Gunung Jerai bagi meningkatkan tahap berjaga-jaga penduduk sekitar.

Menurutnya, satu daripada sistem amaran awal yang dikenal pasti adalah penggunaan tolok hujan yang berfungsi mengukur kuantiti hujan di kawasan itu yang berupaya memberikan amaran sekiranya kadar hujan melebihi tahap tertentu.

“Ini cukup penting, kita perlu ada satu langkah berjaga-jaga, satu langkah berhati-hati, supaya kalau insiden atau bencana seumpama ini berlaku lagi orang ramai terutama rakyat di sekitar akan dapat mengesan ataupun mengambil tindakan awal,” katanya.

Takiyuddin turut memberi jaminan kementeriannya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kawasan Hutan Simpanan Kekal Gunung Jerai yang diklasifikasikan sebagai Hutan Perlindungan bagi tadahan air tidak terjejas dengan sebarang kejadian bencana geologi.

Dalam pada itu, KeTSA dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan sebanyak 69 lokasi bencana tanah runtuh dan lima lokasi aliran puing dikenal pasti di seluruh Gunung Jerai terutama di Titi Hayun dan Batu Hampar.

Menurut kementerian itu, ketika ini JMG sedang melaksanakan analisis penzonan zon berisiko tanah runtuh dan aliran puing yang dikenal pasti bagi setiap kawasan tadahan di kawasan Gunung Jerai.

Kenyataan itu turut memaklumkan kejadian banjir oleh aliran puing pada 18 Ogos lepas telah menyebabkan kerosakan pada dirian infrastruktur di empat Taman Eko Rimba di Gunung Jerai iaitu di Titi Hayun, Batu Hampar, Air Terjun Seri Perigi dan Tupah.- BERNAMA