Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu membina kesatuan ummah sebagai teras penting yang tidak boleh dijadikan agenda siasah sempit.

Pandangan itu dilontarkan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid yang menegaskan, pelaksanaannya perlulah berlandaskan prinsip aqidah dan amar maaruf serta nahi mungkar.

Beliau berkata, apa yang lebih utama ialah soal keupayaan serta orientasi kerja para karyawan agensi yang berkaitan dan pemantauan, penilaian pelaksanaan setiap pelan yang dirangka.

“Kami mengalu-alukan lima inisiatif mantap yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad.

“Pengumuman menteri untuk merealisasi rancangan 5 KPI yang ditetapkan dalam tempuh kurang dari 10 hari itu sudah tentu amat mencabar…mengembalikan izzah ummah harus menyeluruh , bijak dan bersifat berterusan.

“Semangat dan kelantangan tidak menjamin izzah ummah dapat dipulih…yang penting ialah perancangan yang teliti dan modus operandi pelaksanaan yang benar-benar berkesan,” katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini, Idris yang juga Naib Presiden Pas mengumumkan lima strategi dikenali sebagai ‘Inisiatif Mantap’ yang memberi fokus dalam pelaksanaan dasar dan program ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Inisiatif itu katanya, selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa fokus utama kerajaan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, matlamat yang realistik perlu digubal terutama dari sudut perlaksanaan dengan isu utama adalah keberkesanaan dalam pelaksanaan.

Ujar beliau, sememangnya 14 agensi yang menguruskan pembangunan Islam dan umat Islam dibawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amat penting diperkasakan supaya segala rancangan diimplementasi dengan lancar.

“Namun, kami menyarankan agar rancangan yang diumumkan itu perlu diikuti dengan pelan strategik pelaksanaan yang terperinci dan bertahap serta boleh dinilai impaknya.

“Pembangunan Islam tidak harus hanya bersifat kulit dan retorik indah…akan tetapi perlu dilihat manifestasinya secara zahir,” katanya.

Tambah beliau, perlu diingat negara masih belum mencapai status dan imej yang baik dari sudut pelaksanaan, pentadbiran berintegriti, bersih dari penyelewengan, salahguna kuasa serta rasuah.

Sebagai negara Islam, Malaysia masih berdepan dengan gejala korupsi yang tinggi, isu integriti terus menjadi persoalan utama dalam pentadbiran negara.

“Kami mengambil perhatiaan bahawa setiap menteri yang baharu bila menguruskan hal ehwal Islam akan mempunyai pendekatannya masing-masing.

“Yang penting, Islam tidak boleh hanya menjadi slogan tetapi hendaklah dilihat pada dampak kepimpinan, pentadbiran , sahsiah dan kemajuan sosio-ekonomi.

“Islam tidak boleh menjadi slogan yang ditundukkan kepada agenda politik sempit,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Idris rangka 5 strategi kukuhkan hal ehwal agama tangani Covid-19