Ahli Tertinggi MIC, Datuk P.Kamalanathan.

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan  mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tanpa mengira aliran sekolah melambangkan konsep sebenar Keluarga Malaysia.

Malah ianya bukanlah retorik atau setakat kiasan semata-mata.

Itu kata Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Datuk P. Kamalanathan yang turut merasakan persepakatan barisan di bawah pentadbiran kerajaan dalam mengamalkan konsep yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas Kamalanathan, tindakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid sangat bertepatan malah slogan ‘Keluarga Malaysia’ itu bukanlah sekadar kata-kata sahaja.

“Konseptualisasi negara sebagai keluarga di bawah satu payung besar dengan peluang kesejahteraan dan kemakmuran yang diperoleh harus dikongsi bersama adalah prinsip mulia dan keputusan Datuk Seri Mahdzir Khalid adalah bukti kepadanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Mahdzir berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“Saya hendak tegaskan dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon.

“Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keperibadian pelajar,” katanya.

MRSM dirayu tidak mengehadkan permohonan kemasukan daripada kalangan pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan, sebaliknya diperluaskan kepada pemohon sekolah aliran agama.

Ini kerana, para pelajar seperti sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), sekolah rendah agama integrasi (SRAI) dan sekolah agama menengah (SAM) juga menepati dasar dalam MRSM apabila mempunyai peratusan tertentu pelajar yang terdiri dalam kalangan B40, M40 dan T20.

Rayuan itu dinyatakan Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRAI Negeri Selangor yang dalam satu kenyataan bersama 11 YDP seluruh negeri itu.

Pada 29 Ogos lalu, MRSM membuka permohonan kemasukan ke Tingkatan 1 dan 4 bagi tahun 2022 dan mempelawa calon-calon berkelayakan untuk mengikuti Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains Mara yang menawarkan program-program berteraskan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa. -MalaysiaGazette