bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Jumlah aliran masuk bersih bulanan asing mencecah RM1.1 bilion pada bulan Ogos tahun ini, aliran masuk asing bulanan pertama selepas mencatatkan pengeluaran bersih asing selama 25 bulan berturut-turut, kata ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim.

Menurut beliau, pelabur asing mengakhiri bulan Ogos dengan memperoleh RM513.6 juta bersih ekuiti tempatan.

“Malah, ini adalah aliran masuk bersih asing harian terbesar yang dicatatkan setakat ini pada tahun 2021,” katanya kepada Bernama sambil menambah untuk minggu lepas, pelabur asing menguasai RM786.4 juta bersih ekuiti tempatan berbanding RM964.2 juta bersih yang dibeli pada minggu sebelumnya.

Adam berkata, ketika pasaran dibuka semula pada Rabu selepas cuti sambutan Hari Kemerdekaan (Selasa), bulan September bermula dengan nada yang positif, menyaksikan pelabur antarabangsa membeli RM116.7 juta bersih ekuiti tempatan.

Ini berlaku meskipun aktiviti kilang China berkembang pada kadar yang lebih perlahan pada bulan Ogos berbanding bulan sebelumnya.

Kelemahan dalam aktiviti kilang China bagaimanapun mencetuskan harapan yang dasar negara itu akan dilonggarkan, sekali gus mendorong indeks CSI 300 lebih tinggi sebanyak 1.3 peratus pada hari Rabu.

Malah keuntungan yang dilihat di pasaran ekuiti China turut melimpah ke bahagian lain di Asia termasuk Malaysia, jelasnya.

Momentum pembelian bersih asing merosot sedikit pada Khamis dengan hanya mencapai RM6.8 juta bersih apabila beberapa pelabur mula mengambil keuntungan berikutan kenaikan bulanan 7.1 peratus dalam indeks FBM KLCI pada bulan Ogos.

“Namun demikian, rentak pembelian bersih asing melonjak kepada RM149.3 juta bersih pada hari Jumaat, didorong oleh sentimen positif berikutan keputusan kerajaan untuk mengaktifkan gelembung perjalanan Langkawi bermula 16 Sept 2021. Ini telah menyaksikan Indeks Pengangkutan dan Logistik Bursa Malaysia meningkat 1.5 peratus, indeks paling untung dalam kalangan indeks sektoral pada hari berkenaan.

Berdasarkan dari awal tahun sehingga kini, penjualan bersih asing di Bursa Malaysia adalah sebanyak RM4.2 bilion bersih.

Dalam nota berasingan, MIDF Research menyatakan FBM KLCI turun -0.06 peratus minggu lepas kepada 1,589,19 mata sementara ringgit pula menyaksikan kenaikan mingguan sekitar 1.07 peratus berbanding dolar AS untuk ditutup pada  RM4.1460 untuk dolar AS Jumaat lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast