Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad (tengah) menyempurnakan Cabutan Undi bagi Kerja Menyelenggara Jalan di Seluruh Negeri Johor yang diadakan secara maya di Pontian, Johor hari ini.

PONTIAN – Sejumlah RM7 juta diperuntuk bagi 40 projek selengara jalan di daerah Pontian, Muar Tangkak, Segamat,  Batu Pahat dan Kluang di Johor.

Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad yang menyempurnakan Cabutan Undi Secara Maya bagi Kerja Menyelenggara Jalan di seluruh negeri Johor memberitahu, program tersebut adalah inisiatif Johor Centre of Construction Development (JCCD).

JCCD merupakan anak syarikat milik penuh kerajaan negeri yang bekerjasama dengan syarikat konsesi bagi membantu kontraktor-kontraktor di negeri itu.

Terdahulu, Hasni turut menyempurnakan simbolik penanaman Pokok Cempaka dan pemasangan Jalur Gemilang di enam buah motosikal anjuran Jabatan Penerangan Daerah Pontian serta menyerahkan replika cek bagi Projek Bina Baru Rumah Penghulu bagi Mukim Ayer Baloi.

Selain itu, beliau turut menyampaikan bantuan sumbangan kerusi roda, katil dan barangan keperluan bagi golongan yang memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.

Beliau juga menyaksikan penyampaian replika cek sumbangan tablet untuk para pelajar daripada keluarga B40 daripada Yayasan Perbandaran Pontian kepada Pegawai Pendidikan Daerah Pontian.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Rafi Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian, Ezzuddin Sanusi; Ketua Eksekutif JCCD, Ts Ekmaluddin Ishak dan Pengarah Infra Desa Johor Sdn. Bhd., Datuk Amli Talib.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Benut turut meluangkan masa meninjau kawasan yang dilanda banjir di daerah Pontian, iaitu Kampung Parit Muhayat dan Parit Keliling dan Kampung Lanchang.- MalaysiaGazette