KUALA LUMPUR – Tular satu edaran memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR bagi kawasan Ampangan akan mengadakan sidang media jam 5 petang ini bagi mengumumkan tindakan keluar parti.

Turut dimaklumkan dalam hebahan itu tiga lagi ADUN PKR juga akan menyertai sidang media oleh Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek jam 5 petang di Pusat Khidmat ADUN Ampangan, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, ADUN Ampangan itu menafikan akan meninggalkan PKR sebaliknya beliau menyifatkan ada pihak cuba mengeruhkan keadaan mengambil kesempatan dalam isu pergolakan kepimpinan PKR Negeri Sembilan ketika ini.

Katanya, perkara tersebut termasuklah menerusi penyebaran jemputan sidang media palsu yang kononnya beliau akan keluar parti bersama tiga orang ADUN PKR yang didakwa akan dijalankan petang ini.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang mengarut, Mohamad Rafie yang juga ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menegaskan, beliau berkeyakinan penuh terhadap kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ada pihak cuba untuk mengeruhkan keadaan, tapi saya ingin menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan masih kekal utuh bersama.

“Segala masalah dalaman parti boleh diselesaikan dan kita yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden akan menyelesaikan sebarang masalah berbangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PKR Negeri Sembilan dikatakan bergolak berikutan tersebar kenyataan media didakwa oleh Penerangan PKR Negeri Sembilan yang kononnya hilang kepercayaan kepada Pengerusi MPN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atas beberapa sebab.

Laporan yang memetik Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar itu juga menuntut rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN Negeri Sembilan bagi memastikan parti itu kekal relevan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mohamad Rafie berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa ramai pendukung PKR di negeri berkenaan tidak berpuas hati dengan prestasi Aminuddin.

“Bagaimanapun, ia adalah lumrah dalam mana-mana organisasi dan ia ibarat kocakan air di dalam cawan.

“Secara jelas, pihak yang dikritik dan mengkritik memberi kepercayaan 100 peratus kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden.

“Namun, ketika ini saya dan rakan-rakan juga mempunyai keyakinan penuh kepada Anwar selaku Presiden dan kita masih percaya beliau (Anwar) adalah individu yang paling layak memimpin negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette