Joging antara s

KURANG tiga bulan lagi dari sekarang, tahun 2021 akan melabuhkan tirainya dan rakyat Malaysia seperti sudah dapat menerima COVID-19 ini akan menjadi sebahagian dari ‘makhluk’ yang tidak ada hati langsung untuk kita berkawan tetapi sentiasa ada disekeliling ingin ‘berdamping’.

Penulis sendiri tidak menjangkakan bahawa sudah lebih setahun rakyat Malaysia berjuang dan bertahan untuk membebaskan negara dan diri sendiri dari penjajahan COVID-19 sehinggakan tema Hari Kebangsaan 2020 dan 2021 juga punyai kaitan langsung dengan pandemik ini. Sepanjang tempoh tersebut, ada dalam kalangan kita yang kehilangan orang tersayang dan ahli keluarga, terputus punca pendapatan, dibelenggu tekanan hidup, hubungan suami isteri berantakan dan lain-lain lagi.

Khairy Jamaluddin pada sidang media sulungnya sebagai Menteri Kesihatan sudah memberi bayangan bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia untuk terus hidup dengan ‘teman tak mesra’ ini sebagai endemik. Beliau berkata negara dijangka memasuki fasa endemik COVID-19 pada penghujung Oktober selepas 80 peratus penduduk dewasa lengkap menerima dua dos vaksin.

Selepas hampir dua tahun rakyat terbatas pergerakan dan aktiviti atas dasar mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan, pengumuman Khairy Jamaluddin ini adalah satu petanda positif kerajaan dilihat sudah bersedia untuk membawa Keluarga Malaysia lebih ‘bebas’. Kerajaan telah memberi komitmen dalam sedikit masa lagi akan mengumumkan langkah-langkah bagi memudahkan SOP sedia ada supaya ia tidak terlalu banyak dan terlalu rumit supaya rakyat lebih jelas serta mudah difahami untuk dipratikkan sebagai persediaan untuk hidup bersama COVID-19 dalam fasa endemik nanti.

Pastinya salah satu kelonggaran yang ditunggu-tunggu rakyat adalah kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai. Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, perkara ini merupakan salah satu kelonggaran yang berada dalam radar Kerajaan untuk dipertimbangkan selain turut memberi bayangan kebenaran membuka lebih banyak sektor ekonomi. Tambahnya lagi, Kerajaan mengambil kira pelbagi faktor sebelum setiap kelonggaran dimuktamadkan kerana ia melibatkan soal kesihatan rakyat dan keselamatan negara.

Sekadar contoh oleh penulis sekiranya negara tidak beralih ke fasa endemik pada akhir Oktober nanti tetapi pada masa yang sama, negara sudah kembali berjaya mengawal pandemik ini dari aspek penularan jangkitan, semakin menurunnya kes kemasukan ke hospital dan kes kematian, ia tidak menolak fakta bahawa COVID-19 akan terus hidup bersama kita. Masyarakat perlu menerima hakikat untuk hidup bersamanya walaupun ia berjaya dikawal kelak.

Rakyat masih perlu patuh pada SOP dan lakukan kawalan kendiri kerana sikap kelekaan dan ambil mudah bahawa COVID-19 ini masih berbahaya akan mendatangkan musibah pada diri sendiri, orang disekeliling dan negara. Kita perlu kekal berdisiplin agar kita punyai kesempatan menjalani kehidupan yang berfungsi seperti dahulu dalam norma baharu.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah menampakkan sinar kejayaan, justeru penulis menyeru agar semua pihak terus berganding bahu membantu kerajaan memromosikan kepentingan vaksinasi. Kita ingin melihat seramai mungkin masyarakat menerima vaksin dan mendapat perlindungan imunisasi kerana ini salah satu ikhtiar kita bersama untuk melihat Keluarga Malaysia yang lebih sejahtera!. TAMAT

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast