Sebuah lori hilang kawalan meluru laju sebelum merempuh lima buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat di Jalan Segambut menghala k Jalan Ipoh, dalam kejadian baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori yang hilang kawalan hingga merempuh lima kenderaan lain sudah direman bagi membantu siasatan lanjut polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, suspek yang dikesan positif dadah telah direman empat hari.

“Lelaki berusia 25 tahun itu direman empat hari bermula hari hingga 10 September ini.

“Polis menyiasat kes kemalangan itu di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya secara ringkas dalam kenyataan tengah hari tadi.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dalam kejadian sekitar 2.40 petang semalam di Jalan Ipoh, lori berwarna kuning yang dipandu suspek telah laju merempuh lima kenderaan awam yang sedang menunggu di lampu isyarat.

Salah sebuah kenderaan Myvi berwarna kuning remuk teruk sehingga orang awam sekeliling terpaksa mengambil masa untuk mengeluarkan pemandu Myvi berkenaan.

Pemandu Myvi itu terselamat dengan kecederaan ringan di mukanya.

Lori berkenaan datang dari arah Jalan Duta menuju ke Sentul tetapi ketika tiba di tempat kejadian hilang kawalan dipercayai terlampau laju.

Kereta Myvi, Toyota Vios, kereta Peugeot, Honda HRV dan Proton X70 antara kereta orang yang telah rosak teruk akibat rempuhan lori dipandu suspek.

Suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

Pemandu lori itu yang diuji saringan air kencing disahkan positif dadah jenis metaphethamine.- MalaysiaGazette