APMM Pulau Pinang rampas 45 set bubu naga di Sungai Jawi, Seberang Perai, semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang merampas 45 set bubu naga di empat lokasi di sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi, Seberang Perai, semalam.

Bubu naga berkenaan dikesan ketika anggota  APMM melakukan rondaan rutin Ops Benteng Laut dan Ops Pertiwi antara jam 5 petang hingga 5.45 petang.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, anggota bot ronda mengesan beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air yang disyaki penanda bubu naga.

“Hasil pemeriksaan di keempat-empat lokasi itu membawa kepada penemuan 45 set bubu naga yang dianggarkan nilai hampir RM5,400.  

“Bubu naga yang dirampas dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Anggota APMM Pulau Pinang menunjukkan bubu naga yang di rampas semalam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Tambah Abd Razak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang sudah diperuntukan.

“Kita akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes atau jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri,” kata beliau.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146. – MalaysiaGazette