Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Mendepani usia kelima penubuhan, parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menawarkan satu lapisan baharu yang tidak ada bebanan politik.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Bersatu hari ini sudah mempunyai ramai penggerak politik lapisan baharu yang berbagai kategori umur.

“Baik yang umurnya ‘senior’ mahupun anak muda, Bersatu menawarkan satu lapisan baharu yang tidak ada bebanan (baggage) politik.

“Lapisan baharu ini tidak semestinya muda, yang berumur ‘senior’ pun masih saya gelar lapisan baharu jika sejarah politik mereka masih hijau dan segar.

“Apa yang penting, mereka tiada bebanan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan yang membawa huru-hara kepada negara semuanya daripada lapisan lama yang dilihat mempunyai kepentingan.

“Lapisan baharu bukan penyebab masalah, malah mereka senak melihat ahli politik bermasalah yang sengaja menimbulkan lebih banyak masalah,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan politik Melayu Bumiputera terus diusahakan walaupun ramai yang mahu merosakkannya.

“Perpaduan politik Melayu penting kerana ia adalah penentu kepada kestabilan negara hari ini.

“Kestabilan itu akan membawa kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Jajaran baharu yang mengubah identiti teras negara kita adalah tidak sesuai,” tambahnya.

Jelasnya lagi, kejelasan visi dan matlamat dengan berbekal semangat yang kental yang menyebabkan parti ini akan terus subur dalam politik negara.

“Perlu disebut agenda perpaduan Melayu bukan mengenai politik perkauman sempit.

“Tetapi ia adalah untuk membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat yang berbilang bangsa, malah keahlian kita sejak awal penubuhan memang terbuka untuk semua,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, majlis sambutan rasmi ulang tahun akan diadakan hari Jumaat ini. – MalaysiaGazette