Lori pembancuh simen yang hilang kawalan melanggar dua kenderaan sebelum jatuh dalam longkang besar bersama dua lagi kenderaan tersebut mengakibatkan tiga tercedera dalam kejadian di Damansara petang tadi. Gambar Ihsan Bomba Selangor

PETALING JAYA – Tiga individu termasuk seorang wanita cedera dalam kejadian kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori pembancuh simen yang dipercayai hilang kawalan.

Kejadian itu dilaporkan hari ini apabila lori pembancuh simen terbabas sebelum melanggar dua kenderaaan awam dan jatuh ke dalam longkang di Jalan PJU 8/8 Damansara di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan tentang insiden kemalangan itu sekitar jam 2.07 petang tadi.

“Sejurus terima panggilan kemalangan, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara telah digerakkan dan tiba ke lokasi kejadian pada jam 2.21 petang.

“Siasatan mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 50-an itu telah terbabas dan melanggar kereta jenis Proton Saga yang dinaiki seorang lelaki dan wanita dan jatuh dalam longkang besar,” katanya dalam kenyataan.

Pemandu lori pembancuh simen berusia 50-an yang tersepit dibantu keluar oleh orang awam selepas melangar dua kenderaan lain dan terhumban dalam longkang dalam kejadian di Damansara, Petaling Jaya petang tadi.-Ihsan Bomba Selangor

Tambah beliau, anggota Bomba dan Penyelamat telah turun ke longkang besar itu dan menyelamatkan pemandu lori pembancuh simen yang tersepit di dalam kenderaan.

Ujarnya, lori berkenaan juga melanggar sebuah kenderaaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang diparkir di bahu jalan.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan ketiga-tiga kenderaan itu terjatuh ke dalam longkang.

“Pamandu lori simen serta dua mangsa yang terselamat manakala seorang lagi mangsa iaitu wanita sekadar cedera ringan.

“Wanita dan lelaki yang menaiki kereta telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba ke lokasi kemalangan.

“Kesemua mangsa cedera ringan, pemandu lori telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, manakala dua lagi mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya,” tegasnya. – MalaysiaGazette