Langkah Sheraton 2
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang tidak menolak kemungkinan perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi antara kerajaan dan pembangkang akan tergugat berikutan ketiadaan usul undi percaya dalam Aturan Urusan Mesyuarat sidang Parlimen minggu hadapan.

Katanya, sekiranya Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju tidak perlu diadakan usul undi percaya di Parlimen seperti yang didakwa Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar, maka perkara itu mesti dinyatakan dari awal lagi.

Sebaliknya, beliau berkata, rakyat hanya dimaklumkan menerusi kenyataan luar biasa Peguam Negara, Tan Seri Idris Harun Sabtu lalu yang disifatkan sebagai hujah tidak masuk akal dan cuba merendah-rendahkan kuasa Yang di Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel berkaitan:

“Pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di Pertuan Agong dan hal undi percaya di Parlimen adalah dua perkara yang berbeza sama sekali walaupun berkaitan antara satu sama lain.

“Maka tidak peliklah tidak ada seorang pun pakar undang-undang atau peguam yang telah menyokong hujah Idris ini, sebaliknya, ramai peguam dan badan bukan kerajaan yang membantah pendapat Peguam Negara ini,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan hari ini.

Pada 25 Ogos lalu, barisan kepimpinan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang terdiri daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu bertemu Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Pertemuan sejam bagi membincangkan jalan penyelesaian menangani pandemik Covid-19 ittu dilihat oleh banyak pihak sebagai anjakan baharu dalam lanskap politik negara terutamanya dalam rangkaian kerjasama antara kerajaan dan pembangkang.

Artikel berkaitan:

Semalam Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendedahkan Aturan Urusan Mesyuarat yang langsung tidak menyenaraikan usul undi percaya bagi menentukan keabsahan jawatan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Artikel berkaitan:

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Penasihat DAP mendakwa Ismail Sabri tidak mahu usul undi percaya di Parlimen pada hari Selasa depan untuk menentukan keabsahannya kerana bimbang tidak mendapat sokongan 114 ahli Parlimen.

Katanya, keadaan itu timbul walaupun sebelum ini mereka menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri dalam akuan bersumpah dan selepas sesi temu ramah mereka bersama Yang di Pertuan Agong pada 20 Ogos 2021.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Bera itu mungkin boleh mengelak undian di Parlimen yang akan menjadi cerminan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Namun soal Kit Siang, mampukah Ismail mengelak pula pada 23 September semasa usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, atau 7 Oktober semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12, Belanjawan 2022, atau apa-apa rang undang-undang lain.

“Bolehkah kita akhiri sebarang ribut dan ketidaktentuan politik di Parlimen dan temukan satu perpaduan baharu.

“Dengan tujuan untuk memastikan kita menang perang melawan wabak Covid-19 untuk menetapkan semula negara kita di landasan yang betul dengan reformasi institusi dan parlimen untuk memastikan terdapat pemulihan ekonomi dan negara dalam 12 ke 18 bulan yang akan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15?

Beliau juga turut membidas kenyataan Wan Junaidi berkaitan tawaran perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih terbuka untuk dibincangkan.

Artikel berkaitan:

“Mereka kini tergugat dan kita tunggu dan lihat sama ada perjanjian ini masih dapat diselamatkan sebelum Parlimen bersidang Isnin depan.

Kit Siang turut menarik perhatian mengenai rumusan kes oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abd Backer, yang mengatakan Yang di Pertuan Agong boleh bergantung kepada akuan bersumpah dan temu ramah bersama ahli-ahli Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawab baginda mengikut peruntukan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik seorang perdana menteri.

“Manakala Perkara 43(3) Perlembagaan yang memperuntukkan perdana menteri perlulah meletak jawatan jika beliau tidak mempunyai sokongan majoriti adalah perkara yang perlu ditentukan oleh Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette