Polis merampas dadah jenis heroin base bernilai RM34 juta dalam serbuan di Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Polis berjaya menumpaskan satu rangkaian sindiket dadah di utara tanah air selepas merampas dadah bernilai RM34.1 juta di kawasan perindustrian Bukit Minyak, di sini, pada Jumaat lalu.

Rampasan heroin base serta heroin no 3 seberat 367.7 kilogram (kg) itu turut membawa kepada penangkapan 11 lelaki tempatan berusia 22 hingga 58 tahun, termasuk ketua sindiket, membabitkan enam serbuan di sekitar Pulau Pinang, Kedah serta Perak.

Serbuan pertama dilakukan pada jam 12.40 tengah malam di kawasan Perindustrian Bukit Minyak membawa kepada tangkapan dua lelaki berusia 31 tahun yang sedang memunggah kotak berisi kepingan heroin base dalam sebuah kepala treler.

Razarudin (kanan) menunjukkan sebahagian d heroin base yang dirampas polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain berkata, kira-kira 1,000 keping heroin base dirampas dalam serbuan tersebut.

Jelas beliau, bagi mengaburi mata pihak berkuasa setiap satu kotak diisi 82 hingga 84 keping heroin base sebelum bahagian atasnya ditutup dengan seluar jeans.

“Susulan tangkapan itu, kita tahan ahli sindiket rangkaian dadah itu di Kedah sebelum menahan ketuanya berusia 42 tahun di Perak pada hari yang sama.

“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka merupakan satu sindiket yang sama cuma aktif melakukan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di tiga negeri tersebut sejak 17 bulan lalu.

Kira-kira 1,000 keping heroin base dirampas.

“Rata-rata yang ditahan bekerja sebagai pemandu lori, ahli perniagaan, tukang masak serta bekerja sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, heroin base yang dirampas itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dan merupakan bahan utama untuk menghasilkan heroin no 3.

“Dalam serbuan itu, pihak polis turut menyita pelbagai aset sindiket berkenaan termasuk wang bernilai lebih RM10 juta.

Antara yang disita termasuk lima buah kenderaan mewah, barang kemas, wang tunai serta wang dalam akaun bank ketua sindiket.

Kepala lori yang dirampas polis dalam serbuan di Taman Perindustrian Bukit Minyak pada Jumaat lalu.

“Secara keseluruhan dadah dan aset yang dirampas bernilai lebih RM45 juta malah ini merupakan rampasan terbesar heroin base untuk tahun ini,” kata beliau.

Tambah Razarudin, tempoh reman terhadap tujuh suspek itu akan berakhir esok dan permohonan lanjutan reman akan dipohon esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette