Gelang di tangan kiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjadi sasaran tohmahan golongan antivaksin. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan dilakukan serentak pada pembukaan sesi persekolahan.

Bagi tujuan itu Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilantik untuk memikul tugasan tersebut sebagai penyelaras program vaksinasi kepada remaja.

“Kita sudah bentangkan perancangan vaksinasi kepada remaja ini semasa sesi mesyuarat dengan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin tengah hari tadi.

“Apa yang kita setuju adalah, serentak dengan proses pembukaan sekolah, kita akan pergiatkan proses pemberian vaksin kepada remaja. Sama ada ia dapat diselesaikan sebelum pengumuman pembukaan sekolah atau tidak, namun jika tidak sempat kita akan tetap meneruskan proses itu,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, pelbagai kaedah pemberian vaksin dibentangkan dan yang paling mudah adalah dengan memberikan suntikan vaksin di sekolah.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan vaksinasi Covid-19 wajib diberikan mengikut sektor.

Mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan baru-baru ini, bahawa majikan berhak mengambil tindakan terhadap pekerja yang enggan disuntik vaksin Covid-19 mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994, Khairy berkata, beliau tidak bersetuju mengenai perkara itu.

“Seperti yang saya katakan minggu lalu, kita belum mengarahkan vaksinasi mandatori di seluruh negara,” katanya yang merujuk kepada keputusan kerajaan negeri Sabah untuk mewajibkan vaksinasi bagi semua penjawat awam di negeri tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kesian tengok remaja 17 tahun di sarawak beratur untuk cucuk vaksin di PPV, lebih mudah dibuat di Sekolah supaya tiada pelajar yang tercicir.

Comments are closed.