Home Nasional Tiga lelaki samun kedai emas diburu

Tiga lelaki samun kedai emas diburu

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu tiga lelaki dipercayai warga tempatan berhubung kes samun kedai emas di Simpang Tiga, Batu 6, Gombak semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 6.15 petang.

“Siasatan awal mendapati, mangsa seorang wanita berusia 46 tahun yang berada di kedai emas bersama ibu, anak dan adik iparnya telah didatangi tiga lelaki dipercayai warga tempatan yang bertindak menyerbu masuk ke dalam premis.

“Dua suspek didapati masuk ke bahagian rak pameran dan mengambil pelbagai jenis barang kemas manakala seorang lagi suspek menunggu di pintu masuk utama sambil memegang sebilah parang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, salah seorang suspek telah menumbuk bahagian muka mangsa iaitu pemilik premis dan membawa lari pelbagai jenis barangan kemas.

Jelas Zainal, kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000.

“Ketiga-tiga suspek masing-masing memakai helmet berwarna hitam, merah dan biru melarikan diri dengan menggunakan dua buah motosikal jenis Yamaha Y15.

“Kesemua suspek menutup muka dengan cara memakai helmet bervisor gelap, usaha mengesan suspek telah digerakkan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dan sebarang maklumat boleh disalurkan dimana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Agilan Iswaran di talian 03-61262222 / 019-5230801,” ujar beliau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebat.

Terdahulu tular di laman sosial sebuah video berdurasi satu minit yang dirakam televisyen litar tertutup memaparkan tiga individu lengkap memakai helmet menerjah masuk ke dalam sebuah premis menjual barang kemas. – MalaysiaGazette