Seorang wanita Ieda Nor Esbi Baharuddin, 35, (dua kanan) bersama teman lelakinya (baju merah) Norazizol Baharum, 34 dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan mendera sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun yang merupakan anak kandung wanita tersebut di Mahkamah Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2021.

BANGI – Seorang wanita dan teman lelakinya didakwa membunuh anaknya, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Ieda Nor Esbi Baharduin, 35 dan Norazizol Baharum, 34.

Pasangan itu yang menundukkan kepala dalam kandang mahkamah sekadar  mengangguk faham selepas kertas pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai majistret.

Kedua-dua mereka didakwa dengan niat secara bersama dan sengaja membunuh mangsa.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 2 September 2021 antara jam 6.30 pagi hingga 10.41 malam bertempat di rumah beralamat 109, Jalan 2/1, Blok 2, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi.


Ieda Nor Esbi Baharduin menutup wajahnya ketika tiba di Mahkamah Bandar Baru Bangi bagi bagi menghadapi pertuduhan mendera anak kandungnya sehingga mati. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2021.

Pasangan kekasih itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen laporan kimia.

Terdahulu wanita berpakaian serba hitam itu dibawa ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi kereta polis sekitar jam 10 pagi tadi.

Norazizol Baharum sedang turun dari kenderaan polis ketika hadir di Mahkamah Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2021.

Manakala teman lelakinya berbaju kemeja warna merah dan berseluar jean biru pula tiba di mahkamah secara berasingan sekitar jam 9 pagi menaiki kereta polis dalam keadaan tangan digari.

Kanak-kanak malang itu dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada 2 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa mengalami cedera parah dalam abdomen dan badan.

Mangsa merupakan anak kandung kepada wanita tersebut telah didera oleh teman lelakinya di rumah sewa mereka di Bandar Baru Bangi.- MalaysiaGazette