KUALA LUMPUR – Keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenepikan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) merupakan kejayaan besar komuniti nelayan di negeri itu.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff menyifatkan pembatalan projek itu sebagai keadilan yang ditegakkan oleh rakyat tanpa campur tangan politik.
Malah, katanya, Lembaga Rayuan JAS telah membuat keputusan yang telus, matang dan adil.
“Tahniah dan syabas kepada komuniti nelayan dan rakyat di Pulau Pinang atas kejayaan mereka berjuang sehingga projek itu dibatalkan.
“Pembatalan ini dibuat melalui rayuan yang difailkan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu Zakaria Ismail pada 29 Julai lalu di bawah Seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974) di JAS.
“Keputusan itu menyatakan kelulusan EIA bagi projek berkaitan pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak sah, seterusnya, keputusan tersebut memberikan kemenangan serta kegembiraan besar kepada komuniti nelayan dan masyarakat Pulau Pinang yang mahukan pembangunan mampan,” katanya hari ini.
Muhammad Fauzi turut mempersoalkan adakah wujud campur tangan politik semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) apabila Menterinya dari DAP, Yeo Bee Yin seolah membiarkan EIA mendapat kelulusan sebelum Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) diperkenankan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Pulau Pinang pada ketika itu.
Kata beliau, adakah kerajaan DAP Pulau Pinang selepas ini hanya pandang sebelah mata dan memekakkan telinga atas nasihat undang-undang berkaitan isu yang dipertimbangkan oleh Lembaga Rayuan JAS.
Oleh itu, Pas menggesa kerajaan negeri segera membatalkan projek itu demi kelestarian eko-sistem dan sumber rezeki nelayan.
“Kami akan sentiasa menyokong penuh komuniti nelayan serta masyarakat mampan Pulau Pinang untuk membantah projek ini sekiranya ia tetap mahu diteruskan oleh kerajaan negeri selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette