Kanak-kanak dari Kampung Haji Durani Sungai Besar bermain bersama sambil mengibarkan jalur gemilang di sekitar kampungnya bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette Tanjung Karang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 OGOS 2021.

BEBERAPA tahun sebelum penulis berlepas melanjutkan pelajaran di luar negara, penulis telah berkesempatan, melawat satu muzium ternama di Melaka Bandaraya Bersejarah. Di dalam muzium, penulis terlihat satu lukisan gambaran peristiwa 1511 yang membuatkan penulis teringat-ingat sehingga ke hari ini. Dari sekeping lukisan seolah bernyawa itulah penulis mendapat idea untuk menulis tentang erti sebenar sebuah kemerdekaan.Lukisan menunjukkan serangan Portugis ke bandar Melaka dari kapal besar di pelabuhan Melaka.

Kelihatan pahlawan lelaki Melaka berjuang hingga ke titisan darah terakhir menggunakan apa sahaja senjata dan teknologi yang ada ketika itu.Kelihatan juga wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi mangsa peperangan juga kekejaman penjajah Portugis. Bangsa pemain bola sepak berbangsa Portugis tersohor ini iaitu Ronaldo itulah bangsa penjajah Melaka ketika itu.Kelihatan tumpahan darah di sana di sini dan mayat bergelimpangan di bumi Melaka.

Peristiwa 1511 itu menyaksikan kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka yang menjadi titik tolak sejarah perjuangan untuk menuntut kemerdekaan setelah sekian lama. Ditambah lagi dengan penjajahan Belanda, British juga Jepun pada tahun-tahun kemudiannya hinggalah kita mencapai kemerdekaan pada 31hb.Ogos,1957.

Dari pelbagai peristiwa bersejarah tersebut, bahawa penulis berharap kita dapat membuka mata bahawa terlalu tinggi harga yang perlu dibayar untuk sebuah kemerdekaan.Harga darah, airmata, keringat juga perjuangan yang tidak mengenal
penat lelah. Muda mudi generasi kini juga generasi yang lahir dan hidup sekitar tahun
60an, 70an dan ke atas mungkin tidak memahami secara jelas apa itu erti
kemerdekaan.

Ada tidak ada segala cerita yang dikutip dari ibu bapa yang hidup dan lahir sekitar tahun 40an dan 50an.Generasi yang hidup zaman sebelum kemerdekaan inilah yang menyaksikan segala perit jerit hidup di bawah penjajahan. Jika kita pernah menonton filem Hati Malaya lakonan Rusdi Ramli, masihkah kita ingat lagi adegan Rusdi apabila cuba memohon bekerja dengan British.Tetapi pegawai British tersebut memperlekehkan beliau dan mengatakan bahwa tidak perlulah beliau berpelajaran tinggi.

Cukuplah hanya bekerja di kebunmembantu bapanya sebagai petani. Rusdi membentak pegawai tinggi British tersebut lalu mengatakan aku mahu bekerja sebagai seorang peguam, dan tidak mahu jadi seperti ayahku menjadi petani.Dari adegan ini dua pengajaran diperolehi. Satunya ialah mempunyai pelajaran yang tinggi mampu membangunkan sesebuah negara yang merdeka demi memacu ke aras yang lebih tinggi.

Oleh itu anak-anak muda sekarang harus rajin dan bersemangat untuk belajar menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi. Yang keduanya apabila kita dijajah maka kita akan ditindas malah tidak mampu bersuara pun untuk mempertingkatkan kemampuan dan keupayaan juga potensi diri, masyarakat dan negara.Oleh itu sebuah bangsa dan negara yang mahu berdaya saing perlulah merdeka agar suara didengari dan mampu membentuk
jati diri. Hasil penjajahan menyaksikan hasil bumi negara yang dijajah, pergi ke negara penjajah.

Lalu negara penjajah mampu membangunkan universiti tersohor dunia lalu kemudiannya menjana billion pound secara tahunan kini. Malah setengah dokumen bersejarah negara pun berada dalam muzium luar negara menjadi milikan mereka. Penulis semasa menjalani latihan di dalam kamar di sebuah firma guaman tersohor tanah air pernah berkesempatan melihat dokumen geran asal milikan penjajah yang kemudian beralih tangan kepada anak tempatan.Ketika itu penulis yang tidak tahu asal usul pertukaran milikan tersebut, terfikir juga bagaimana perusahaan yang sekian lamanya menjadi milik penjajah akhirnya ke tangan anak tempatan dengan
jayanya.

Dikatakan operasi tersebut dijayakan oleh seorang negarawan yang pernah menjadi menteri besar sebuah negeri.Operasi menjelang subuh tersebut menyaksikan penjajah mendapat tempelakan hebat atas pertukaran milikan geran tersebut. Jadi apakah yang boleh dipelajari dari operasi tersebut? Penulis berpendapat jika kita menjadi satu bangsa Malaysia yang bersatu hati, maka segala misi,aspirasi yang nampak mustahil akan menjadi kenyataan dan membuahkan hasil.Tidak perlu bercakaran untuk merealisasikan agenda politik nafsu nafsi.

Usaha yang mampan dan jitu juga berterusan walau bertahun perlu perancangan, misi,
polisi yang jelas untuk membuahkan satu pelan tindakan yang baik dan berhasil. Saban tahun kita menyambut kemerdekaan tanpa mengetahui erti sebenar merdeka. Kemerdekaan ini untuk dihayati bahawa apabila kita merdeka dari penjajahan maka hasil bumi dan negara juga politik negara diterajui oleh anak jati negara.

Namun di sebalik mengenang sejarah mencapai kemerdekaan, maksud kemerdekaan harus melangkaui mengenang sejarah negara tercinta ini. Apa ertinya merdeka jika minda dan hati kita masih dijajah? Merdeka kini harus bermaksud menanam kecintaan pada negara yang didiami dengan memberikan sepenuh ketaatan pada Tuhan mengikut agama yang dianuti menurut perlembagaan, kesetiaan kepada Ra ja dan negara, juga mendokong aspirasi dan menjayakan ideologi demokrasi berpaksikan tuntutan selari dengan Ruku Negara Malaysia.

Maka rakyat haruslah menyemak kembali pegangan dan kefahaman pada sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan yang perlu dihormati.Bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Maka pemimpin dan rakyat tidak kira ras perlu semak ideologi kembali adakah cinta dan kasih sudah bersemi Malaysia atau pun masih berkiblatkan negara asal.

Ingatlah bahawa kita sudah lama tinggal di negara tercinta dengan rukun dan damai.Kita mencari rezeki di Malaysia walau mengikut susur galur kita mungkin ada asalnya dari Jawa,Sumatera, China, India, Britain dan sebagainya. Maka semaklah semula lukisan potret negarawan di lorong-lorong bandar bersejarah lama, sama ada kita masih berkiblatkan ideologi negara asal atau sudah menumpukan sepenuh taat setia dengan Malaysia negara yang tercinta.

Seharusnya kita ‘berkiblatkan’ pada ideologi negara tercinta dan melupakan kisah lama demi menghormati agama, budaya dan bangsa kita. Maka seharusnya kita menjaga dan menghargai perjuangan demi sebuah kemerdekaan dengan mengenepikan segala perbezaan antara kita. Rukun Negara perlu dihayati dan diamalkan agar menjadi prinsip hidup kerukunan.Kita seharusnya menolak isu juga politik bersifat pecah belah seperti yang menyemai sentimen berbaur perkauman yang mampu menggugat keamanan.Rakyat dan pemimpin harus lebih berfikiran terkedepan dan seharusnya ingat kemerdekaan ini , pernah dicapai dengan tumpah darah,airmata dan keringat.Selamat Hari Kemerdekaan
Malaysia! Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Dr.Noor Dzuhaidah Osman & Prof.Madya Dr. Hazmi Rusli
Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Para talibarut dan tentera PKM yang ditubuhkan dan dibiayai oleh Tanah Besar Komunis Cina sehingga 1989 pun dikenang jasa diberi kerakyatan negara kecil sekangkang kera ini kononnya dah dok lama macam adik-beradik, kan?
    Beri visas cukuplah toleransi di antara penduduk berbilang kaum dan rakyat etnik tempatan okay.

Comments are closed.