Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2021.

PETALING JAYA – Pemergian bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan hari ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar berkata, ini kerana Allahyarham memiliki sikap integriti yang tinggi dan aktif ketika berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia.

Jelas beliau, sikap Zaman Khan yang juga bekas Ketua Pengarah Penjara itu terbawa-bawa walaupun arwah sudah bersara apabila arwah melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan.

“Kalau kita ingat insiden Red Army misalnya, Bentong Kali dan banyak lagi, ia membabitkan komitmen penuh beliau.

“Beliau seorang yang sangat berintegriti dan tidak pernah kenal erti kalah atau berputus asa yang boleh dicontohi. Ini adalah kehilangan besar untuk kita dan saya secara peribadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Radhatus Sakinah di Bukit Kiara di sini selepas upacara pengebumian jenazah yang selesai pukul 5.30 petang ini.

Kenderaan yang membawa jenazah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan selepas meninggal dunia pagi tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Haniff menganggap hubungan Allahyarham amat rapat termasuk dengan ahli keluarga masing-masing.

“Saya rapat dengan arwah, anak beliau dan semua keluarganya. Saya mula kenal dengannya ketika dia di unit trafik lagi.

“Masa itu, saya belum kenal lagi dan hanya tahu nama sahaja. Tapi dalam PDRM, beliau memang suka ke depan dan berani kalau ada serbuan,” katanya.

Sementara itu, Zaman Khan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Bukit Kiara, di sini kira-kira pukul 5.30 petang.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba dari Masjid Bukit Aman pukul 5.03 petang.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pukul 10.15 pagi tadi pada usia 76 tahun.

Pada 1 Ogos lalu, Zaman Khan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dilaporkan pengsan pagi yang sama.

Sementara itu, pada era pentadbiran Zaman Khan, arwah berjaya menyelesaikan beberapa kes besar jenayah di negara ini adalah melibatkan usaha dan komitmennya sebagai Pengarah JSJ ketika itu.

Antaranya termasuklah kes tebusan di Penjara Pudu pada tahun 1986, di mana ketika itu Allahyarham merupakan Pengarah Keselamatan Dalaman dan Ketenteraman Awam.

Selain itu Allahyarham juga terbabit dalam melaksanakan tugasan memburu penjenayah paling ditakuti P. Kalimuthu, hingga akhirnya ditembak mati pada 29 Jun 1993.

Beliau juga antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.

Zaman Khan pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997. – MalaysiaGazette