Jenazah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan yang meninggal dunia pagi tadi dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2021.

PETALING JAYA – Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Bukit Kiara, di sini kira-kira pukul 5.30 petang.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham tiba dari Masjid Bukit Aman pukul 5.03 petang.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pukul 10.15 pagi tadi pada usia 76 tahun.

Pada 1 Ogos lalu, Zaman Khan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dilaporkan pengsan pagi yang sama.

Anak sulungnya, Zakimi berkata, bapanya yang mempunyai masalah buah pinggang, pengsan ketika sedang menunggu temujanji berjadual dengan doktor di HKL.

Pada Januari tahun lalu, Zaman Khan pernah menjalani rawatan di HKL susulan mengalami pendarahan dalam usus.

Zaman Khan adalah Pengarah JSJ Bukit Aman pada 1993 yang terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu, yang dikenali sebagai Bentong Kali.

Beliau juga antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.

Zaman Khan pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997. – MalaysiaGazette