Tujuh suspek warga asing yang mendalangi sindiket penipuan pelaburan saham luar negara mensasarkan warga Korea Selatan tumpas di ibu negara semalam.gambar ihsan : JSJK KL.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan pelaburan bursa saham luar negara yang  memperdaya, memerangkap mangsa warga asing dengan beroperasi di negara ini akhirnya tumpas.

Tujuh orang suspek lelaki warga asing yang disyaki dalang sindiket penipuan itu telah  dicekup semalam selepas sebuah kediaman mewah yang dijadikan markas operasi digempur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, bertindak ke atas maklumat sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bersama-sama Bahagian Siasatan Risikan/ Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah membuat serbuan di sebuah premis di Mont Kiara.

Antara barangan yang dirampas di sebuah premis yang dijadikan pusat pelaburan haram.

“Seramai tujuh individu warga asing berumur 26 hingga 35 tahun telah ditangkap,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, kesemua suspek tangkapan kini telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 15 September 2021 untuk membantu siasatan lanjut polis.

Siasatan awal mendapati sindiket yang beroperasi sejak Mac 2021 ini mensasarkan mangsa dari negara Korea. – MalaysiaGazette