IGP Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani EMCO vaccination
Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di dalam negara adalah terkawal.

Justeru tahap pemantauan akan dipertingkatkan untuk menjamin ketenteraman dan kesejahteraan rakyat, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menurutnya, PDRM mengambil maklum berhubung laporan berita Kedutaan Jepun di Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah-rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.

“Namun berdasarkan situasi semasa, PDRM memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam negara adalah terkawal.

“PDRM setakat ini tidak mengesan atau menerima sebarang maklumat mengenai apa-apa bentuk ancaman keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

 

Acryll Sani meminta orang ramai untuk tidak gusar dan tidak membuat sebarang spekulasi kerana PDRM akan memastikan keselamatan negara pada tahap selamat.

“Pemantauan juga akan ditingkatkan oleh PDRM bagi menjamin kesejahteraan masyarakat. PDRM sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan keharmonian di negara ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette