Foto Facebook Kedah Darul Aman FC.

KUALA LUMPUR – Saingan Liga Super musim 2021 telah melabuhkan tirai apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) ditabal sebagai juara manakala Kedah Darul Aman (KDA) menduduki tangga kedua sekaligus bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim hadapan.

Selain mengesahkan kemaraan ke saingan peringkat Asia musim hadapan, Kedah turut menyaksikan salah seorang pemain mereka, Baddrol Bakhtiar berjaya menjadi penjaring terbanyak di kalangan pemain tempatan dengan kutipan tujuh gol.

Baddrol memperoleh gol ketujuh beliau ketika Kedah turun menentang Melaka United yang berkesudahan dengan kemenangan milik Kedah apabila menjaringkan empat gol menerusi Kipre (24,31), Baddrol (67) dan Fayadh Zulkifli (69).
Selain Kipre Tchetche (10 gol) dan Kpah Sherman (13 gol), Baddrol menjadi salah seorang penyumbang jaringan bagi Kedah musim ini sekaligus membolehkan mereka menamatkan saingan liga di tangga kedua di hadapan Penang dan Terengganu.

Pemain yang mesra dengan sapaan Bad itu menyamai catatan yang dilakukan oleh pemain sayap JDT iaitu Safawi Rasid musim lalu apabila dia turut menjaringkan tujuh gol.

Musim ini, Kedah sepatutnya beraksi dalam saingan Piala AFC bersama Terengganu namun hasrat kedua-dua pasukan tidak kesampaian apabila saingan Zon Asean dibatalkan ekoran masalah tuan rumah.

Musim hadapan, skuad bimbingan Aidil Sharin itu sekali lagi mempunyai peluang untuk beraksi di pentas Asia. – MalaysiaGazette