Legasi Laksamana Muda Chan Peng Cheong. Gambar Ihsan Sumber: Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR – Bagi sesetengah keluarga, tentera bukanlah kerjaya utama yang akan dijadikan pilihan, apatah lagi apabila semua ahli keluarganya memilih kerjaya yang sama.

Begitulah pendekatan yang diambil oleh Laksamana Muda Chan Peng Cheong yang menterjemahkan kekeluargaannya dengan peribahasa, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Apa yang berlaku pada keluarga ini ialah tiga anak lelaki mereka mengikut jejak bapa dengan sukarela memilih kerjaya menjadi sebahagian daripada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Lebih membanggakan apabila semua mereka telah berjaya mencipta pelbagai kejayaan dalam perkhidmatan itu.

Anak sulung Laksamana Muda Chan Peng Cheong iaitu Lt. Chan Jun Shen TLDM merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) tahun 2003-2006 dan melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

Beliau pernah dinobatkan johan dalam Anugerah Inovasi Tentera Laut dan naib johan Anugerah Inovasi Kementerian Pertahanan untuk Kolaborasi Latihan Penerbangan TLDM-PDRM.

Dalam bidang sukan pula, Lt. Chan Jun Shen TLDM bergiat aktif dalam endurance racing dan pernah dinobatkan sebagai University Duathlete of The Year pada 2011, selain peserta Ironman termuda Malaysia pada umur 18 tahun dan berjaya menamatkan sembilan kali kejohanan itu.

Kini, beliau merupakan Timbalan Pegawai Jurutera Udara Skuadron 502 yang bertanggungjawab dalam memastikan rutin selenggaraan pesawat berada dalam prestasi yang optima.

Anak kedua Laksamana Muda Chan Peng Cheong, iaitu Kapten (Dr) Chan Jun Win memilih bidang perubatan dan telah menjadi doktor dalam ATM.

Beliau juga merupakan bekas pelajar MTD pada tahun 2008-2009 dan pemenang Hadiah Bekas Putera 1.

Kejayaan itu sekali gus melayakkannya menerima tawaran biasiswa daripada Kementerian Pertahanan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Perubatan dan menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan Am dari Volgograd State Medical University, Russia.

Kapten (Dr) Chan Jun Win pernah mengikuti kursus Pegawai Ikhtisas Kor Kesihatan Diraja di Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN), Kem Terendak pada tahun 2020.

Atas kecemerlangan akademik yang ditunjukkan, beliau dinobatkan sebagai Penuntut Akademik Terbaik Keseluruhan yang membawa pulang Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan dan hasil penulisannya itu telah dijadikan sebagai poster presentation dalam Malaysia Military Medicine Conference 2021.

Dalam bidang sukan, beliau bergiat aktif dalam bola tampar dan ketika di Rusia, dia satu-satunya pelajar luar negara yang berjaya terpilih mewakili pasukan bola tampar universiti selama empat tahun berturut-turut.

Selain itu, Kapten (Dr) Chan Jun Win juga berkecimpung dalam sukan ping pong, badminton, bola sepak dan larian marathon.

Kini beliau telah diperjawatkan sebagai Pegawai Perubatan Rejimen di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja yang lebih dikenali sebagai Gurkha Malaya.

Manakala anak bongsunya, Lt. Ts. Chan Jun Kwan TLDM juga bekas pelajar MTD pada tahun 2010-2011 dan merupakan pemenang Hadiah Komandan sebagai Putera Terbaik Keseluruhan.

Hasil daripada kejayaan itu, beliau telah mendapat tawaran biasiswa penuh daripada kerajaan Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran ke United States Naval Academy (USNA) dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM pada tahun 2016 dengan kelulusan BSc in Aerospace Engineering.

Beliau mengikuti Kursus Pegawai Kejuruteraan Jentera dan Elektronik Kapal Terbang (KPKJEK) di Kolej Tentera Udara, Alor Setar dan dinobatkan sebagai Overall Best Student pada tahun 2019.

Lt. Ts. Chan Jun Kwan TLDM juga menjadi first crew TLDM yang terlibat dalam eksesais maritim terbesar di dunia iaitu Rim of the Pacific (RIMPAC) yang dianjurkan di Pearl Harbor, Hawaii.

Selain itu, beliau mengetuai projek Kumpulan Inovatif & Kreatif bertajuk “Damage Control Floating Bag” dipertandingan inovasi antarabangsa di RIMPAC dan dinobatkan johan keseluruhan sekali gus menerima Anugerah Khas Inovasi daripada Kementerian Pertahanan.

Dia kini merupakan seorang License Aircraft Engineer yang diperjawatkan sebagai Timbalan Pegawai Jurutera Udara di SKUADRON 501 (Super Lynx).

Lebih membanggakan apabila baru-baru ini, Lt Ts. Chan Jun Kwan turut memenangi biasiswa penuh iaitu Chevening Scholarship 2021/2022 daripada Kerajaan United Kingdom dan akan melanjutkan pengajian ke peringkat Master di Cranfield University dalam masa terdekat.

Kejayaan yang diperolehi oleh keluarga Laksamana Muda Chan Peng Cheong ini ternyata luar biasa, yang membuktikan tiada apa mustahil untuk dicapai.

Apa yang diharapkan agar keluarga ini turut dapat dijadikan inspirasi kepada semua #KeluargaMalaysia untuk menceburi ATM dan menjadi barisan hadapan yang cemerlang dalam kerjaya dan mampu membina masa depan yang cerah. – MalaysiaGazette