Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Aminuddin Yahaya Foto SHAFITY ZUL, 25 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia jelas bertentangan dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta 556 Pendidikan Negara dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya mendakwa, UEC membawa silibus yang menyeleweng dari luar negara dan tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan.

“Pengiktirafan UEC adalah pengkhianatan kepada negara dan berlawanan kehendak Raja-Raja Melayu. Ini kerana UEC bersifat subversif serta meremeh, memperlekeh dan jelas mengesampingkan Bahasa Kebangsaan terutamanya dalam pendidikan.

“Ini bukan lagi andaian tetapi realiti semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Rabu lalu, portal Samudera.my melaporkan UEC bakal diiktiraf oleh kerajaan sebagai tawaran daripada pihak pembangkang iaitu syarat sokongan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) kepada kerajaan pada 14 September 2021 untuk kekal berkuasa.

Aminuddin berkata, kerajaan sepatutnya lebih memahami kesan buruk mengiktiraf UEC yang hanya akan melunturkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini.

“Sudah dipersetujui sebelum ini formula mengukuhkan perpaduan mesti kembali kepada Dasar Pendidikan Negara yang menekankan penggunaan Bahasa Kebangsaan, kurikulum dan sistem peperiksaan yang selaras,” katanya.

Katanya lagi, pengiktirafan UEC mewujudkan sijil substandard dan dikendali oleh badan sejarah awalnya berkiblatkan kuasa asing dan hingga kini tidak selaras dengan ciri-ciri kenegaraan Malaysia.

“Apakah kerajaan mahu berkompromi dengan mereka yang menolak Dasar Pelajaran Kebangsaan dan menolak sistem pendidikan negara serta menambah kecelaruan yang sedia ada?

“PEMBELA berpandangan pengiktirafan UEC akan mewujudkan persaingan tidak wajar dalam peluang pengajian tinggi dan pekerjaan kepada lepasan sekolah menengah kebangsaan tidak menurut acuan kenegaraan. Ini mesti dihentikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan tidak mengiktiraf UEC demi memelihara kedudukan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan Negara dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

“PEMBELA menyaran agar pihak kerajaan mengambil serius perihal isu ini kerana ia membawa implikasi besar kepada negara ini.

“Kami juga menuntut kerajaan memberikan jaminan bahawa UEC tidak dijadikan bahan dagangan dalam perjanjian CSA walau apa sekalipun, termasuk di belakang tabir,” katanya. – MalaysiaGazette