JOHOR BAHRU -Menteei Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) yang merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia 2021, buat kali kelapan berturut-turut.

Hasni dalam hantaran di Facebook berkata, ucapan penghargaan harus diberikan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas pencapaian tersebut.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia 2021 bagi musim kelapan berturut-turut.
“Sudah tentu penghargaan ini harus diberikan kepada pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
“Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh JDT di dalam dan luar padang adalah hasil kerja keras DYAM Tunku Ismail membangunkan JDT sehingga menjadi satu jenama yang gah di persada dunia,” katanya.
Hasni juga mengucapkan tahniah kepada pengendali skuad JDT, Benjamin Mora yang merupakan tulang belakang bagi pasukan JDT dan para pemain yang sentiasa bertungkus-lumus memastikan kejuaraan terus kekal milik Harimau Selatan itu.
Beliau turut berterima kasih kepada peminat JDT yang bukan sahaja di Johor, malah di seluruh dunia atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.
Beliau berkata, kejayaan yang diraih JDT wajar dijadikan inspirasi oleh seluruh masyarakat kerana ia tidak datang bergolek, tetapi memerlukan usaha dan komitmen jitu.
Semalam, pasukan JDT menjuarai saingan Liga Super 2021 buat kali kelapan berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.
Kemenangan ke-18 JDT dalam kempen musim 2021 itu meletakkan skuad Harimau Selatan memiliki berkelebihan 14 mata di hadapan berbanding pencabar terdekat, Kedah Darul Aman FC setelah mengumpul keseluruhan 57 mata menerusi 22 perlawanan. – MalaysiaGazette