Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini memberi penekanan khusus terhadap strategi pemodenan dan pertanian pintar kerana ianya merupakan aspirasi utama yang perlu dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, penggunaan teknologi dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti serta kuantiti hasil tanaman seterusnya dapat meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.

Oleh itu, hasil pertanian juga dapat ditingkatkan melalui penggunaan teknologi pertanian pintar seperti precision farming, internet kebendaan (internet of things, IOT), data raya (big data), kecerdasan buatan (artificial intelligence), blok rantai (blockchain) serta dron bagi aktiviti pemetaan, taburan benih, semburan racun dan baja.

Penggunaan teknologi juga dapat mengurangkan guna tenaga terutamanya pekerja asing.

Beliau berkata, bagi meningkatkan tahap penggunaan teknologi, kementerian ini akan terus melipatgandakan usaha untuk menarik penyertaan lebih ramai belia sebagai pengeluar makanan dan penyedia perkhidmatan teknologi.

”Penumpuan juga akan diberi kepada peningkatan kompetensi teknikal pegawai pengembangan agar mampu melaksanakan pemindahan teknologi kepada pengeluar makanan serta menyediakan persekitaran yang kondusif untuk penerimagunaan teknologi oleh golongan sasar melalui kemudahan kewangan, pendigitalan produk serta penyediaan akses pasaran secara e-dagang.

”Selain itu, usaha memacu modenisasi dalam agromakanan adalah selari dengan aspirasi nasional ke arah merevolusikan Industri 4.0 di dalam sektor ekonomi negara,” katanya ketika melancarkan Program Virtual Agrotechnology Extension 2021 (VAE 2021) secara dalam talian hari ini.

Ronald berkata, DAN 2.0 turut menyokong semua usaha di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dalam memodenkan sektor agromakanan iaitu mempercepatkan penggunaan teknologi moden, meningkatkan produktiviti ladang, mewujudkan sistem rantaian nilai yang cekap, memperkukuhkan keluaran pertanian bersasar dan meningkatkan nilai tambah industri makanan dan asas tani.

Selaras dengan dasar-dasar dan usaha-usaha kementerian, beliau menyifatkan Program Virtual Agrotechnology Extension 2021 (VAE 2021) pada hari ini bertepatan diadakan kerana memberi peluang kepada semua peserta untuk berkongsi kepakaran teknologi pertanian terbaik yang diamalkan oleh syarikat pertanian terkemuka di dunia kepada pemain industri pertanian di Malaysia.

Ia juga menggalakkan penglibatan pihak industri di bawah sub-sektor tanaman
untuk membuka peluang perniagaan secara kontrak ladang melalui aktiviti pemadanan perniagaan untuk pasaran domestik dan eksport.

”Saya melihat program ini melibatkan kerjasama strategik dengan pihak industri daripada luar negara bagi perkongsian kepakaran teknologi pertanian yang terkini.

”Langkah ini seiring dengan matlamat utama kementerian dan untuk menjadikan sektor agromakanan sebagai suatu industri yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan,” ujarnya. – MalaysiaGazette