potholes KL Kuala Lumpur
Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membeli keseluruhan tanah Kampung Baru, demikian menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Kita perlukan lebih RM7.1 bilion untuk pemilikan tanah tersebut yang berharga RM1,000 sekaki bagi lebih 200 ekar tanah.

“Ia memang cadangan yang bagus sebelum ini lagi, tetapi memerlukan 100 peratus persetujuan pemilik tanah.

“Pada masa lepas (pentadbiran Pakatan Harapan), hanya 61 peratus persetujuan. Tetapi, sekarang jika persetujuan didapati 50 peratus, kerajaan boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah, seksyen 1B dan C,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soalan lisan daripada ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Menurut beliau, ada perkara lebih baik daripada pemilikan itu di mana kerajaan hari ini lebih menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan pembangunan sedia ada.

“Perkara penting pada saat ini adalah untuk pembangunan dan penstrukturan yang boleh memberi tambah nilai kepada tanah Kampung Baru.

“Ada beberapa fasa yang akan menaik taraf Kampung Baru di mana ia lebih menguntungkan.

“Lama kita bercakap mengenai Kampung Baru tetapi tidak fokus kepada pembangunan.

“Walaupun berfasa, ada satu, dua, tiga atau empat, tetapi jika fasa empat mahu jalankan pembangunan terlebih dahulu, ia tidak menjadi masalah.

“Pembangunan bercampur ini diterima penduduk Kampung Baru,” katanya lagi.

Menerusi soalan tambahan daripada Khalid, di mana kerajaan perlu menggunakan akta tersebut dan mengambil alih pemilikan itu, Shahidan berkata, perkara itu diberikan hak sepenuhnya kepada pemilik tanah dan pemaju.

“Kerajaan tidak mampu untuk lakukan, melalui tawaran yang dibuat, penduduk runding dengan pemaju.

“Kita ada Perbadanan Kemajuan Kampung Baru yang akan menyelaras semuanya,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Shahidan berkata beberapa pendekatan telah dilakukan kementeriannya untuk memastikan Kampung Baru terus maju.

“Terdapat 44 blok pembangunan telah dikenalpasti. Pembangunan pemaju dan pemilik tanah akan mengikut blok-blok tanah tersebut.

“Peruntukan kerajaan adalah untuk infrastruktur. Nilai hartanah bergantung kepada mekanisma ikut kesesuain pembangunan,” jelasnya lagi.

Tambahnya dengan tiga fasa pembangunan iaitu lima tahun, 10 dan 20 tahun ini, Kampung Baru akan mengalami perubahan terbaik.

“Dalam masa lima tahun ini, proses menaik taraf semua flat PKNS di Jalan Tun Razak, menaik taraf Jalan Raja Udang, sambungan lebih raya DUKE, tapak klinik kesihatan dan pembangunan ekonomik.

“Dalam tempoh 10 tahun pula, aka nada kediaman lebih kompetitaf di Kampung Periuk dan Kampung Indah. – MalaysiaGazette