Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Empat lelaki yang disyaki dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau ah long diberkas polis  dalam dua serbuan berasingan di premis sekitar Batu Pahat pada Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menerusi kenyataan medianya hari ini berkata, suspek yang ditahan berusia 23 hingga 36 tahun dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak dua tahun lalu.

Hasil siasatan turut mendapati sindiket ah long berkenaan  menjadikan mangsa warga tempatan bekerja di Singapura dengan menawarkan wang tukaran negara republik berkenaan.

“Hasil risikan dan soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam sindiket ah long dan menawarkan pinjaman antara Dollar Singapura (SGD) 300 hingga SGD 1,000 dengan faedah sehingga 20 peratus.

“Kebanyakan mangsa warga tempatan yang bekerja di Singapura,” katanya.

Selain kegiatan ah long, suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan khianat dan ugut kepada peminjam serta keluarga mangsa.

“Tiga daripada suspek yang kami tahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes perjudian, kekerasan, judi serta pinjaman tanpa lesen,” kata Ayob.

Polis turut merampas barangan seperti komputer riba, telefon bimbit, wang tunai bernilai RM9,700 dan dokumen mengandungi maklumat peminjam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 kerana menjalankan operasi pinjaman wang tanpa lesen.

Selain Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terlibat melakukan jenayah khianat dengan menggunakan api.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama sembilan hari sehingga 15 September ini.

Sejak Januari lalu, sebanyak 168 kertas siasatan berkait kes pinjaman wang tanpa lesen termasuk jenayah khianat membaling cat di kediaman dan botol molokov telah dibuka.

Dalam tempoh itu, seramai 45 individu telah ditahan yang dipercayai membabitkan 12 sindiket ahlong.- MalaysiaGazette