RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh tengah hari ini apabila isu mengenai usul untuk menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang.

Perkara itu juga membawa kepada penggantungan dua hari RSN Rayer (PH-Jelutong) yang diarah keluar dewan selepas enggan menarik balik perkataan ‘memalukan’ yang dikeluarkan terhadap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Perkara yang mula dibangkitkan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) selepas sesi soal jawab lisan itu, bertukar hangat apabila rata-rata Ahli Parlimen blok pembangkang bangun mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini dan mendesak untuk mengetahui kenapa usul itu ditolak.

Azhar yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat menjelaskan beliau tidak boleh menjawab perkara itu kerana ia berkaitan dirinya, dan meminta perkara itu diajukan kepada Mohd Rashid atas alasan beliau tidak akan membuat sebarang campur tangan berkaitan usul itu kerana mempunyai percanggahan kepentingan.

“Isu itu ada dibuat tetapi saya serahkan kepada Timbalan Speaker untuk buat keputusan. Saya telah menulis surat kepada semua pengusul bahawa saya tidak akan membuat apa-apa keputusan mengenainya,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut bangun membangkitkan isu sama antaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson); Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas).

Anwar ketika memohon penjelasan berhubung perkara itu, berkata: “Saya minta sekurang-kurangnya timbalan speaker sama ada (melalui) nota kepada speaker untuk baca keputusan alasan dia atau menangguhkan sekejap supaya timbalan speaker datang bagi penjelasan.”

Mohd Rashid yang kemudian menggantikan Azhar mengendalikan sesi itu, mengesahkan menerima usul secara bertulis itu dan menjelaskan perkara itu telah dijawab melalui surat kepada mereka yang mengemukakan usul dan tidak perlu dihebahkan kepada awam.

“Saya telah terima surat untuk pengosongan kerusi speaker. Ada 11 usul. Datang serentak semua dari parti Amanah. Saya rujuk kepada penasihat undang-undang dan datang lagi dua soalan dari PKR.

“Setiap yang memberikan usul tersebut telah saya jawab secara bertulis. Sila baca jawapan tersebut dan keputusan saya adalah muktamad…Saya tak perlu maklumkan kepada semua, saya jawab kepada pengusul itu sahaja,” katanya.

Jawapan Mohd Rashid itu bagaimanapun menimbulkan tidak puas hati kalangan blok pembangkang dan menyebabkan pertikaman lidah antara Mohd Rashid dan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berlanjutan selama 10 minit.

Ketika pertikaman lidah itu, RSN Rayer berkata: “Timbalan Speaker, jangan salah guna kuasa. Rakyat memerhatikan anda, memalukan.”

Susulan itu, Mohd Rashid berkali-kali meminta Ahli Parlimen Jelutong menarik balik kenyataan itu namun tidak diendahkan menyebabkan Ahli Parlimen itu diarah keluar serta digantung selama dua hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas dengan sengaja menimbulkan kekecohan.

“Tiga kali (amaran). Saya arahkan bentara minta Jelutong keluar sekarang…saya minta bentara jalankan tugas keluarkan Jelutong sekarang, dua hari (digantung),” katanya. – MalaysiaGazette