Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong mulai 16 September 2021 dengan pematuhan SOP yang ketat.

KUALA LUMPUR – Sekiranya projek rintis gelembung perjalanan Pulau Langkawi, Kedah gagal maka tiada gelembung ke destinasi lain akan dibuka, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) perlu membuktikan bahawa projek rintis berkenaan boleh dijayakan dengan selamat.

“Projek rintis Pulau Langkawi ini kita tidak kira fasa kerana ia sudah merentasi negeri dan daerah tapi pada dasarnya adalah untuk kebajikan rakyat, tiada kena mengena dengan ekonomi.

“Keputusan yang dibuat ini kerana kementerian berkaitan tahu bahawa kesihatan mental dan kebajikan rakyat perlu dipertimbangkan setelah sekian lama terkurung di rumah, walaupun kita tahu bukan mudah untuk benarkan pergerakan rentas negeri ini,” katanya menerusi sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam masa sama, Hishammuddin turut memberi penekanan bahawa individu yang berkunjung ke Pulau Langkawi bermula 16 September ini perlu patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelak berlakunya kenaikan kes Covid-19.

“Apa yang penting orang yang akan mengunjungi Langkawi ini kena berdisplin dan lengkap dos vaksin.

“Sekiranya gagal (gelembung pelancongan), kita tidak akan buka kepada destinasi lain. Kementerian (MOTAC) perlu buktikan mereka boleh lakukannya di Langkawi terlebih dahulu,” ujarnya.

Pada 9 September lalu, kerajaan mengumumkan SOP sempena gelembung pelancongan projek rintis Pulau Langkawi bermula 16 September.

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, SOP berkenaan terhad kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksinasi.

Katanya lagi, jenis percutian dibenarkan ialah secara harian iaitu pergi dan pulang pada hari yang sama, bermalam, percutian dengan tempahan penginapan atau tiket masuk yang dibuat terlebih dahulu. – MalaysiaGazette