Keadaan seorang warga emas yang ditemui meninggal dunia dipercayai ketika sedang menunggu giliran untuk berurusan di JPJ Cawangan Bangi hari ini. Foto awam

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas ditemui meninggal dunia secara mengejut ketika sedang menunggu giliran di kaunter Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian tersebut pada pukul 10.21 pagi.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 76 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kerusi tempat menunggu kaunter JPJ Cawangan Bangi.

“Pihak ambulans yang tiba ke lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian warga emas tersebut dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat kes. – MalaysiaGazette