Home Seni Hidup Anggota polis kayuh basikal 70 kilometer sambut Hari Malaysia

Anggota polis kayuh basikal 70 kilometer sambut Hari Malaysia

KUANTAN – Seramai 25 anggota polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang meraikan Hari Malaysia dengan cara tersendiri apabila mereka mengayuh basikal sejauh 70 kilometer bagi meraikan sambutan itu pada hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kayuhan pada jam 7 pagi bermula dari Serambi Kuantan, Tanjung Lumpur hingga ke Ubai, Jalan Kuantan- Pekan.

“Seramai 25 anggota dan pegawai pelbagai pangkat dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang menzahirkan semangat sambutan hari Malaysia dengan berbasikal bersama-sama.

“Kayuhan mengambil masa tiga jam dan sejauh 70 kilometer ini membuktikan semangat anggota polis sambil meninjau aktiviti dalam komuniti sempena hari bersejarah negara.

Seramai 25 orang terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM menyertai kayuhan sejauh 70 kilometer sempena Hari Malaysia

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika menamatkan kayuhan di Serambi Teruntum, Kuantan.

“Terima kasih kepada semua anggota yang menunjukkan komitmen bersatu-padu dan setia kawan di mana kami sama-sama pergi, sama-sama pulang.

“Semoga semangat kayuhan bersama dapat memberi reaksi dan kesan positif untuk bekerja dalam sepasukan dengan lebih cemerlang,” katanya.

Hadir sama menyertai kayuhan sempena Hari Malaysia, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Mohd Yusri Othman. – MalaysiaGazette