international travel national border
Deretan pesawat yang tidak dapat beroperasi berikutan kekurangan penumpang akibat penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan agar pasangan antarabangsa yang terpisah diberikan kelonggaran untuk bertemu.

Menerusi surat permohonan yang diajukan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Pengasas Parti Muda itu menerima aduan berkaitan kesukaran pasangan antarabangsa mendapatkan pas perjalanan untuk keluar dan masuk Malaysia.

Jelas beliau, pas perjalanan dan kelulusan ini wajar ditawarkan kepada golongan terbabit kerana perpisahan yang lama dan berjauhan akan meninggalkan kesan psikologi yang teruk kepada individu dan keluarga terutamanya pada waktu pandemik Covid-19.

“Saya menerima maklumat bahawa masalah banyak timbul kerana pelaksanaan larangan rentas negara yang dikuatkuasakan sejak Mac 2020.

“Golongan ini terdiri daripada antaranya orang Malaysia atau permastautin asing di Malaysia yang ingin keluar negara untuk melawat isteri atau suami dan anak mereka.

“Pasangan tidak berkahwin sama ada orang Malaysia atau permastautin asing yang ingin merentas ke luar negara bagi melawat pasangan mereka, atau pasangan mereka yang ingin masuk ke dalam negara,” katanya berdasarkan surat yang dikongsikan menerusi Twitter, hari ini.

Syed Saddiq turut mengemukakan beberapa cadangan garis panduan yang boleh dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini termasuk menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat untuk pasangan iaitu suami, isteri atau ahli keluarga yang ingin meninggalkan negara ini atau sebaliknya dengan mewajibkan jaminan kuarantin daripada orang yang dilawat.

Katanya, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran SOP yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette